Daerah Matu merancang adakan Pesta Pantai Matu

0

PESTA PERTAMA MATU: Abu Seman (tiga kiri) sambil disaksikan oleh ketua-ketua kaum dan rakyat semasa melakukan simbolik pelancaran Pesta Pantai Matu, Sabtu lepas.

SIBU: Kalau Mukah dan Oya sudah terkenal dengan Pesta Kaul, daerah Matu merancang untuk mengadakan Pesta Pantai Matu sebagai acara tahunan untuk menggerakkan pertumbuhan ekonomi serta industri pelancongan di daerah terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Abu Seman Jahwie berkata, jawatankuasa khas yang dibentuk bagi menganjurkan pesta itu merancang untuk menjadikannya acara tahunan sama ada secara besar-besaran mahupun secara kecil-kecilan.

“Jika sudah terkenal, saya percaya ramai penduduk dari Sibu malah Sarikei akan bersama-sama penduduk di sini memeriahkan pesta pantai itu memandangkan rangkaian jalan raya ke daerah ini sudah bertambah baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Pesta Pantai Matu di Kuala Matu dekat sini pada Sabtu lepas.

Pesta dua hari itu dimeriah-kan dengan pelbagai acara, an-taranya ialah senamrobik beramai-ramai, sukaneka, pertandingan karaoke, poco-poco, bola sepak pantai dan memancing.

Abu Seman yang juga setiausaha politik Ketua Menteri menegaskan, pesta pantai itu selain mengetengahkan budaya masyarakat Melanau di sini juga boleh dijadikan venue mengeratkan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Pesta pantai ini boleh dianggap sebagai satu kegiatan sosial dengan matlamat utama mengeratkan lagi perpaduan di kalangan rakyat.

“Kita harus kekalkan budaya hidup bersatu padu bagi membolehkan kerajaan merancang program pembangunan dengan licin,” tegas beliau.

Penduduk luar bandar tambahnya, harus terus bekerjasama dengan kerajaan jika mahu mengecapi arus kemajuan setanding dengan penduduk bandar.

“Justeru pelihara perpaduan yang sedia terjalin untuk memudahkan kerajaan merancang program pembangunan,” jelasnya.

Sesungguhnya, kata beliau daerah Matu tidak kurang dengan daya tarikan pelancongan dan satu daripadanya ialah rumah panjang masyarakat Melanau di Kampung Sok dan Kuala Matu juga bertuah kerana dikurniakan pantai yang cantik.

Dalam hubungan ini, beliau mencadangkan supaya penduduk kampung menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menjaga kebersihan pantai dan menggesa ketua-ketua kaum turun padang bersama-sama masyarakat setempat mencari jalan menjaga kebersihan pantai itu.

“Anggaplah pantai ini sebagai milik bersama. Kita tetap anjurkan pesta pantai ini untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.

Pada majlis itu, Abu Seman turut menyampaikan geran projek kecil luar bandar  kepada beberapa jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga Igan dan khemah untuk berniaga kepada 10 orang penjaja.

Timbalan pengerusi jawatankuasa pengelola Sapuani Eli dalam ucapan aluannya berkata, kejayaan menganjurkan pesta pantai itu jelas menunjukkan penduduk di sini menyokong kerajaan Barisan Nasional BN dan membabitkan penyertaan semua lapisan masyarakat.