Tindakan sertai BERSIH boleh gugat kedaulatan dan keharmonian Negara

0

SARIKEI: Tindakan mahu mengadakan dan menjemput rakyat di negara ini bagi mengikuti Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang dijadualkan di ibu negara pada 9 Julai ini merupakan satu perbuatan yang boleh menggugat kedaulatan dan keharmonian negara ini.

Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan N.39 Repok merangkap Ahli Majlis Tertinggi Pergerakan Pemuda PBB Sarawak, Morshien Affandi berkata, tindakan yang sedemikian bukannya untuk mencari keadilan dan menjernihkan keadaan tetapi mengeruhkan lagi suasana.

“Dari pandangan pihak kita, mereka yang ingin mengadakan perhimpunan itu mempunyai golongan sasaran yang tersendiri, iaitu menjurus kepada golongan belia, orang muda ataupun mereka yang berada di pertengahan umur.

“Orang kita pada masa sekarang khususnya golongan belia sangat mudah tertarik dengan setiap propaganda perjuangan yang digunakan oleh sesetengah pihak. Oleh itu mereka harus sedar bahawa mereka itu sebenarnya boneka kepada pihak bertanggungjawab menganjurkan perhimpunan ini demi kepentingan peribadi sahaja,” katanya.

“Masyarakat kita harus menjadikan iktibar setiap perkara yang berlaku di negara-negara jiran kita yang memperggunakan pendekatan serupa dalam menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara, tidak akan membawa apa-apa kebaikan tetapi yang jelas diperolehi ialah kehancuran,” tambah Morshien lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah selesai membuat laporan polis terhadap tindakan yang disiarkan pada laman web yang dibacanya di rumah kediaman memohon dan menghasut masyarakat agar menyertai perhimpunan BERSIH.

Beliau telah membuat laporan tentang perkara terbabit di Balai Polis Pusat, Sarikei pada petang kelmarin dan memohon pihak berkuasa mengadakan sekatan terhadap laman web tersebut serta mengambil tindakan terhadap individu yang terbabit dalam menyiarkan perkara tersebut.

Tambahnya, budaya tersebut bukannya satu budaya yang harus diamalkan kerana negara kita ini mempunyai pendekatan dan undang-undang yang tersendiri sekiranya ada permasalahan dan ketidakpuasan yang berlaku, dengan menggunakan saluran yang betul.

“Jangan bertindak membelakangi peraturan dan jadilah manusia yang bertamadun serta janganlah mudah terpengaruh dengan dakyah dan hasutan yang digunakan oleh sesetengah pihak dan berfikir dengan waras kerana tindakan yang serupa hanya mengundang banyak perkara yang negatif dari yang positif.

“Kita sebagai masyarakat yang terpelajar dan berpendidikan harus mengamalkan sikap bijak berfikir sebelum melakukan sesuatu tindakan yang boleh mencetus huru-hara pada negara kesayangan kita ini dan jangan bertindak mengikut rasa kerana ia boleh membinasakan,” tegas Morshien lagi.