Anggota tentera maut dilanggar kereta

0

KUCHING: Seorang anggota tentera yang pada mulanya terselamat daripada kemalangan menemui ajalnya selepas dilanggar oleh sebuah kereta Kancil yang secara kebetulan sedang memecut laju ketika dia mahu keluar dari keretanya.

Tragedi tersebut berlaku pada sekitar jam 4 pagi semalam di Jalan Penrisen dekat sini yang membabitkan mangsa, Digat Sen, 42, dari Saratok.

Digat, yang berkhidmat di kem tentera di Kota Samarahan, meninggalkan isteri dan empat anak.

Difahamkan Digat sedang memandu balik ke rumah bersama rakannya apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh pokok di satu selekoh di Batu 9. Rakan mangsa tinggal di Batu 10.

Pengguna jalan raya lain yang melalui kawasan itu bergegas menghulurkan bantuan kepada mangsa dan rakannya.

Dalam usaha mengeluarkan kedua-dua mangsa dari kereta, sebuah kereta yang sedang memecut laju tiba-tiba muncul menuju ke arah mereka.

Digat yang pada mulanya mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan tidak dapat mengelak sebelum kepalanya digilis oleh kereta tersebut.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu kereta berkenaan terus memecut laju sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.

Namum tiada siapa yang mengetahui nombor pendaftaran kereta Kancil tersebut. Rakan Digat kemudiannya dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu, seorang lelaki berusia lewat 30-an terselamat dan hanya mengalami cedera ringan selepas terlibat dalam kemalangan yang berlaku pada masa yang sama.

Kereta mangsa hilang kawalan sebelum merempuh tiang lampu dan terbabas ke longkang berdekatan Jalan Airport.

Dipercayai pemandu memandu dalam keadaan mabuk.

Dia kemudiannya dihantar ke HUS untuk menerima rawatan lanjut. Polis masih menyiasat kedua-dua kes tersebut.