KEBAS anjur majlis makan malam ini, rai Hari Bapa

0

SRI AMAN: Kelab Belia Bersatu Batang Lupar (KEBAS) akan menganjurkan Program Malam Hari Bapa 2011 bertempat di Dewan Serbaguna, Kampung Hilir dekat sini malam ini.

Pengerusi Kelab berkenaan, Awang Magerib Awang Anie memberitahu Utusan Borneo, program yang bermula jam 8 malam itu dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Bapa 2011.

Pelbagai acara menarik telah disusun atur bagi memeriahkan acara ini nanti antaranya ialah acara memotong kek sambutan Hari Bapa, persembahan kebudayaan, lagu tajaan serta jamuan makan malam.

Tambahnya lagi, acara utama majlis malam itu ialah pertandingan pakaian beragam untuk para bapa-bapa yang hadir ke program berkenaan serta penyampaian Anugerah Bapa Penyanyang 2011 dan Anugerah Pasangan Ideal.

“Pihak kita juga akan menyelitkan acara teka jumlah gula batu, teka jumlah kacang serta cabutan nama bertuah,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu katanya, majlis perasmian program ini nanti dijangka akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Rohani Abdul Karim.