Tiga lelaki mengaku tidak bersalah cuba curi pelbagai rempah masakan

0

MIRI: Tiga lelaki masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret petang semalam terhadap tuduhan cuba mencuri pelbagai rempah masakan ayam kepunyaan syarikat tempat mereka bekerja.

Mohd Hazwan Roslan, 18, dari Tudan Fasa 6; Mohamad Naim Hashim, 24, dari Kampung Pujut Tanjung Batu dan Mohamad Aris Rasid, 32, dari Piasau Jaya di sini telah didakwa mengikut Seksyen 381/511 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan ini, kesemua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, ketiga-tiga tertuduh yang bertugas sebagai pekerja am di syarikat Harrison Trading (Sarawak) Miri didapati cuba mencuri barang-barang seperti satu kartun Ayamas Curry Original (24 x 280g), satu kartun Ayaman Curry Spray dan satu kartun Ayamas Masak Merah yang kesemuanya bernilai RM410.40 kepunyaan syarikat terbabit.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada jam 10 pagi, 14 Jun di Harisson Trading (Sarawak) Sdn Bhd, Lot 6 Jalan Lutong-Kuala Baram di sini.

Setelah mendengar pengakuan tidak bersalah kesemua tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 5 Julai ini untuk perbicaraan lanjut.

Manakala ketiga-tiga tertuduh dibenarkan dibebas dengan ikat jamin RM1,000 berserta seorang penjamin sementara menunggu tarikh tersebut.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Nasrul Hadi Abdul Ghani.