Site Last Updated 8:27 pm, Saturday

Usahawan ikan terubuk masin S’wak makin berdepan cabaran

by Jeremy Lanson. Posted on June 22, 2011, Wednesday

BELI-BELAH: Jamakyah (kiri) sedang memilih ikan di salah sebuah gerai di Pasar Tamu Satok.

Persaingan perniagaan yang kian sengit tidak lagi janjikan untung lumayan

KUCHING: Usahawan ikan terubuk masin di negeri ini kini berdepan dengan pelbagai cabaran dalam usaha untuk memenuhi permintaan pelanggan mereka.

Sungguhpun begitu, pasaran ikan terubuk masin di negeri ini masih lagi antara yang terkenal di seluruh negara.

Menurut seorang usahawan, Ibrahim Sahari, 50, penglibatan beliau dalami bidang itu sejak tahun 1986 telah banyak memberikan pengalaman kepada beliau dan membolehkannya menghadapi cabaran pada hari ini yang jauh lebih sukar dan memerlukan usaha lebih gigih lagi.

“Antara cabaran terawal adalah sejak tahun 2003, ialah apabila harga ikan terubuk yang diperolehi daripada pembekal sering naik dan apabila naik ia tidak akan turun, sebab itu kini kita terpaksa berbelanja besar sebagai modal harian menyebabkan keuntungan yang diperolehi juga tidak seberapa.

“Tidak dinafikan juga, jika dahulu senang sahaja untuk mengaut keuntungan apabila sudah bergelar usahawan ikan masin, tetapi kini usahawan ikan masin pun boleh juga rugi,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Tambah beliau, ketika mula-mula aktif sebagai usahawan ikan terubuk masin, beliau mendedahkan bahawa pendapatan bulanan beliau mampu mencecah sehingga lima angka sebulan.

“Tetapi kini jangankan lima, empat angka pun susah-susah juga…tetapi syukurlah sebab sekurang-kurangnya ada juga dijadikan sebagai modal pusingan dan juga untuk menyara keluarga,” katanya.

Sementara menurut seorang lagi usahawan ikan terubuk masin yang hanya mahu dikenali sebagai Andy, kebanyakan pelanggan beliau adalah dari Semenanjung Malaysia.

“Pelanggan kebanyakannya dari Semenanjung Malaysia, kerana menurut mereka tidak lengkap rasanya datang ke Sarawak tanpa membeli ikan terubok masin,” katanya sambil memberitahu anggaran keuntungan beliau adalah sekitar RM2,000 sebulan.

Beliau ketika ditemui juga tidak menafikan bahawa persaingan dalam industri itu kini semakin hebat.

“Dahulu lain, tidak banyak yang bergiat dalam industri ini, tetapi kini…di sini sahaja sudah ada sebanyak 15 buah gerai yang menjual ikan terubok masin, “ katanya yang ditemui di Pasar Tamu Satok semalam.

Menurut seorang pelanggan pula, Jamakyah Morshidi, 48, beliau sering membeli ikan terubuk masin untuk dihantar ke tempat-tempat lain.

“Memang saya sering membeli ikan terubuk masin ini, terumatanya jika ada saudara-mara atau sahabat yang berada di kawasan lain meminta saya menghantar kepada mereka kerana bagi mereka ikan terubuk masin di Sarawak adalah yang terbaik,” katanya.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.