Sikap penyokong DAP gelar penyokong Bumiputera BN ‘bodoh’ amat dikesali

0

 

KUCHING: Dr Jerip  Susil (BN-Bengoh) kecewa dengan sikap segelintir penyokong DAP yang menggelar penyokong Bumiputera BN sebagai ‘bodoh’ kerana tidak menyokong pembangkang.

Menurut Dr Jerip, kebanyakan daripada Bumiputera yang menyokong BN digelar sebagai ‘bodoh’ bukan sahaja didengar di kedai-kedai kopi malah termasuk di dalam Facebook, blog serta laman Internet.

“Diskriminasi retorik seperti ini adalah tidak bertepatan dengan keharmonian kaum di negeri ini.

“Hanya kerana mereka tidak menyokong DAP atau PKR tidak bermaksud Bumiputera adalah ‘bodoh’. Inilah sikap pembangkang.

“Ketika PKR kalah pada pilihan raya kecil Batang Ai, ketua PAS menggelar masyarakat Iban sebagai masyarakat yang tidak bertamadun kerana masih memakai cawat,” katanya dalam ucapan pada Persidangan DUN semalam.

Tambah Dr Jerip, DAP atau pembangkang dilihat bersikap lagak, menganggap diri mereka yang terbaik, paling berani dan paling betul.

Tidak dinafikan segelintir daripada mereka adalah seperti demikian, tetapi ia belum mencukupi untuk menerajui negara.

Tambah Dr Jerip, masyarakat Dayak serta Bumiputera yang lain sentiasa menghargai usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan BN.

Ini kerana katanya, kita telah dilahirkan dan dijaga di bawah kerajaan BN untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan dan pendidikan yang terbaik.

Menyentuh mengenai perkembangan di Bengoh, beliau berkata 100 peratus perkampungan telah diliputi dengan bekalan elektrik dan kini dalam pelaksanaan fasa kedua.

Pada masa yang sama, bekalan air bersih di kawasan Puncak Borneo, Krokong, Serembu termasuk daerah Siburan juga bertambah baik.

Inisiatif SACOFA memasang menara telekomunikasi di kawasan Bengoh turut membolehkan jurang komunikasi diatasi di kalangan penduduk termasuk berdekatan sempadan iaitu Gumbang dan Sembhan.