Perhimpunan haram digerakkan pihak yang tidak sabar untuk berkuasa, kata Najib

0

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perhimpunan haram 9 Julai ini sebenarnya digerakkan oleh pihak yang tidak sabar untuk berkuasa dan bukannya kerana pilihan raya di negara ini tidak bersih.

Beliau berkata jika pilihan raya di negara ini tidak bersih, tentunya pembangkang tidak akan dapat berkuasa di lima negeri pada pilihan raya umum yang lepas.

“Kalau kita boleh manipulasi semua pilihan raya ini, baik semua negeri dikuasai oleh Barisan Nasional (BN). Kita bukan orang yang manipulasi pilihan raya. Kita tidak rela berkuasa melainkan kita didokong oleh rakyat. Itu Barisan Nasional,” katanya pada perasmian Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP) ke-58 di sini, semalam.

“Kita hanya rela berkuasa kalau rakyat bersama kita, tetapi janganlah buat sesuatu yang menimbulkan huru-hara dalam negara semata-mata mereka hendakkan kuasa politik,” katanya.

Beliau berkata jika mereka mempunyai keberanian, mereka patut bertanding dalam pilihan raya daripada menganjurkan perhimpunan haram yang akan mewujudkan huru-hara di dalam negara.

“Kalau negara kita huru-hara, mereka akan dipertanggungjawabkan. (Negara) ada undang-undang. Kita hendak jaga kepentingan rakyat negara kita, bukanlah kepentingan orang yang “sesangat-sangat’ hendak kuasa politik, tidak sabar-sabar lagi,” katanya dengan disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin.

Najib, yang juga Pengerusi BN berkata tindakan kumpulan pengacau itu mengadakan perhimpunan haram itu adalah untuk mendapatkan kembali sokongan yang mereka dapat semasa pilihan raya umum 2008 memandangkan kini momentum sokongan rakyat kembali berpihak kepada BN.

“Momentum politik berada di pihak BN dengan kemenangan dalam pilihan raya demi pilihan raya kecil yang mana kita sudah ubah rekod itu berbanding selepas pilihan raya (umum) 2008. Kita juga menang (pada pilihan raya negeri) di Sarawak.

“Mereka sudah kaji dan buat kesimpulan macam mana mereka hendak mengambil balik momentum politik di tanah air. Jadi timbullah cadangan untuk membuat perhimpunan ini,” katanya.

Najib berkata keadaan tersebut tidak boleh selesai di jalanan kerana kuasa politik ditentukan rakyat dan jika mereka benar-benar mempunyai keberanian ingin berjuang untuk rakyat, mereka perlu bertanding dalam pilihan raya.

“Jika kamu ada keberanian, lawanlah (dalam) pilihan raya. Jika tidak berani, apa saya boleh buat, buatlah di jalanan, (dan) anda perlu hadapi akibatnya,” katanya.

Perdana Menteri berkata, orang seperti ini akan hanya menyalahkan semua pihak termasuk para ilmuan dengan mendakwa dirinya sahaja yang betul sedangkan pada hakikatnya beliau tidak mampu, sekalipun hanya untuk memimpin parti yang diketuainya.

Najib berkata adalah lebih baik jika orang itu mampu memperbetulkan parti sendiri terlebih dahulu daripada ingin membetulkan pihak lain kerana pemilihan di dalam parti yang diketuainya juga dipenuhi dengan perkara buruk hingga dikritik pimpinan sendiri.

“Tak usahlah hendak betulkan pilihan raya kita, betul parti sendiri (dulu). Tahun sudah pemilihan dalam parti apa dah jadi? Reformasi akhirnya baling kerusi, sampai pemimpin mereka sendiri pun tak percaya.

“Ada orang yang terlentang di hospital kerana dipukul semasa pemilihan itu. Pemilihan PKR sudah sampai berlawan, bertumbuk dan kena pukul. Apa ini, apakah parti ini yang hendak betulkan negara? Hendak tunjuk yang kononnya mereka itu demokrasi. Demokrasi mana ada dalam parti mereka,” katanya.

Beliau berkata: “Dia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menjadi ketua de-facto tapi tidak pernah bertanding dalam parti sendiri.

“Apakah ini yang dikatakan hendak menjadi pemimpin negara dalam parti sendiri pun tidak bertanding. Hendak betulkan apa kalau dalam parti sendiri kacau bilau, baling kerusi dan macam-macam,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata, sehubungan itu rakyat perlu faham bahawa itu semua hanyalah tipu helah individu tersebut yang teramat sangat ingin berkuasa hingga sanggup untuk tidak menghormati kepentingan rakyat dan negara.

“Kita jangan terlalu apologetik dan takut. Kita akan lawan habis-habisan tetapi kita lawan ikut undang-undang negara. Kita bukan samseng, kita lawan secara berhemah, berbudi dengan memperjuangkan kepentingan rakyat melalui usaha, program, dasar kita dan peranan kita sebagai pemimpin,”katanya.

Perdana Menteri juga mahu anggota BN keluar daripada zon selesa yang merasakan parti itu cukup kebal dan kuat bagi memenangi hati rakyat kerana jasa dan budi yang begitu besar yang ditabur parti itu selama ini.

Bagi menjamin kesinambungan sokongan rakyat, anggota BN perlu terus bekerja keras, selain mewujudkan yang hubungan yang erat dengan masyarakat, katanya.

Beliau juga berharap sebarang unsur negatif yang boleh memudaratkan parti dapat dikikis bagi memastikan BN akan tetap diterima dan disanjung rakyat.

Katanya, di sebalik tentangan dan serangan tanpa henti pakatan parti pembangkang, BN masih mampu mengekalkan sokongan yang diterima dari rakyat menerusi kemenangan berterusan yang dicatatnya dalam beberapa siri pilihan raya kecil termasuk pilihan raya negeri Sarawak.

“Dalam setiap pilihan raya kecil BN telah menang bukan saja kemenangan biasa tetapi kemenangan yang lebih (besar) majoritinya, kecuali (pilihan raya kecil kerusi Parlimen) Sibu. Kita menang di Galas, Batu Sapi, Merlimau, Hulu Selangor, Tenang, Kerdau dan terakhir di Sarawak. – Bernama