Muzium Sarawak kekal jadi tarikan pelancongan warisan

0

KUCHING: Muzium Sarawak kekal menjadi tarikan pelancongan warisan yang ikonik di negeri ini.

Menteri Pelancongan dan Warisan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata perkembangan itu ditambah dengan penganjuran pameran dan program pendidikan yang sering dilakukan muzium dalam menerapkan nilai-nilai budaya serta sejarah Sarawak.

“Pada tahun 2010, sejumlah 1.2 juta orang pelawat yang datang ke galeri muzium iaitu 3.6 peratus peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

“Sementara itu pada lima bulan pertama tahun 2011, kami menerima 443,058 pelawat ke 12 galeri muzim seluruh Sarawak,” katanya ketika menggulung bagi kementerian pada persidangan DUN di sini, semalam.

Menurut beliau, bagi menarik lebih ramai pelawat yang datang, Muzium Sarawak merancang 12 pameran sementara bagi tahun 2011 yang mana empat daripadanya adalah bertaraf antarabangsa.

Muzium juga, kata beliau, kekal menjadi pusat penyelidikan yang penting dari semua aspek dokumentasi warisan, pemuliharaan dan pendidikan. “Terdapat banyak penyelidikan dihasilkan telah diterbitkan dalam Journal Muzium Sarawak yang dicetak semenjak 1911.

“Journal Muzium Sarawak juga telah dikeluarkan ke seluruh negara dan terus mempromosikan kekayaan sejarah dan warisan untuk kedua-dua pendidikan serta ‘laymen’.

Sehubungan itu, katanya, muzium akan terus menjalin kerjasama dengan beberapa pakar asing dalam bidang berkaitan arkeologi dan sejarah dan ia disokong oleh pakar antarabangsa serta para akademik tempatan.

Beliau menjelaskan kementerian juga akan terus menyelaras dan menjalin kerjasama agensi dan pemilik persendirian tapak dan bangunan warisan yang telah diwartakan.

Beliau berkata ia bagi memastikan tapak dan bangunan warisan akan sentiasa dipelihara dan dikekalkan mengikut asalnya.

“Bagi mengetengahkan kekurangan kesedaran tentang nilai warisan di kalangan awam, kita mengendalikan kempen kesedaran warisan dengan menyasarkan sekolah, ejen pelancongan dan persatuan relevan,” katanya.