60 pelajar terima pembiayaan bayaran bas sekolah secara percuma

0

ALBUM… Firdaus dan Samsudin merakamkan album kenangan bersama penerima bantuan Program Pemuda Prihatin (Jom Ke Sekolah).

SANDAKAN: Seramai 60 pelajar dari tiga buah sekolah di sini telah menerima bantuan pembiayaan bayaran bas sekolah secara percuma selama setahun daripada Pemuda Umno Batu Sapi.

Penerima bantuan itu termasuk 27 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sandakan 2, 26 pelajar dari SMK Elopura 2 dan tujuh pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Anib 3.

Ketua Pemuda Umno Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, bantuan menerusi Program Pemuda Prihatin (Jom Ke Sekolah) itu membolehkan pelajar yang terpilih untuk menaiki bas sekolah secara percuma dan perbelanjaan akan dibiayai oleh pergerakan itu.

Katanya, setiap pelajar akan menerima kad pelajar bagi melayakkan mereka menaiki bas secara percuma bermula bulan ini sehingga Julai tahun depan.

“Program bantuan ini bertujuan untuk memastikan pelajar yang datang dari keluarga kurang berkemampuan dapat meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.

“Selain itu, ia juga mampu meningkatkan semangat para pelajar agar tidak menjadikan kemiskinan sebagai penghalang untuk mereka tidak hadir ke sekolah,” katanya ketika ditemui pada Program Pemuda Prihatin di SK Sungai Anib 3, di sini.

Khairul turut menambah, pihaknya akan memperluaskan program bantuan tersebut dari semasa ke semasa bagi membolehkan lebih ramai pelajar mendapat manfaat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekong, Datuk Samsudin Yahya melahirkan rasa bangga di atas pencapaian pergerakan itu yang berjaya melaksanakan program bantuan tersebut.

Katanya, usaha berkenaan perlu diteruskan di masa akan datang sejajar dengan matlamat pergerakan itu yang sentiasa prihatin terhadap masalah dan kebajikan rakyat.

“Bantuan berkenaan adalah antara inisiatif pihak kerajaan dalam memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang berkualiti. Bagaimanapun, ibubapa juga perlu memainkan peranan yang penting bagi membolehkan pembelajaran anak-anak berjalan lancar sekaligus mendapat keputusan cemerlang baik dalam bidang akademik mahupun ko-kurikulum,” jelasnya.