Laksana projek pembangunan, Muhiddin tidak wajar bangkitkan: Puad

0

KOTA KINABALU: Soal jabatan di sesuatu negeri diberi lebih keputusan dan melaksanakan projek berkaitan pelajaran haruslah tidak dibangkitkan bagi mengelak kekeliruan.

Baru-baru ini Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Dr. Muhiddin Yussin dalam kenyataan akhbar tempatan telah membangkitkan soal supaya jabatan itu diberi lebih kuasa untuk membuat keputusan dan melaksanakan projek pembangunan.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi berkata, tidak sepatutnya Muhiddin menyebut agak menyeluruh termasuk soal melibatkan pengambilan guru.

“Berhubung kenyataannya itu, mana boleh serahkan kepada setiap negeri untuk menjalankannya, kita mesti jaga kualiti dan standard dalam pelantikan guru,”kata Puad yang mengulas kenyataan Muhiddin bahawa Jabatan Pelajaran harus diberi lebih kuasa untuk membuat keputusan dan melaksanakan projek pembangunan, terutamanya dalam penyelenggaraan, latihan dan pengambilan guru.

Dalam kenyataan Muhiddin itu yang berbunyi ‘Benarkan kami mengurus peruntukan kami sendiri berdasarkan konsep biar pengurus yang mengurus dan seterusnya’. Puad menjelaskan bahawa ianya tidak wajar diperkatakan.

Menurut Puad, sekarang ini jabatan itu tidak diberi kuasa untuk mengurus sebarang peruntukan untuk pembangunan walaupun kos projek IRU di bawah RM500,000.

Sebelum ini, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN), Datuk Seri Salleh Said mencadangkan bahawa Jabatan Pelajaran Sabah  harus diberi lebih kuasa dan autonomi.

Ini kerana menurut Salleh, banyak bangunan sekolah di negeri ini memerlukan pembaikan dan projek pendidikan tidak dijalankan secara sistematik kerana untuk yang mudahpun terpaksa  dirujuk kepada Putrajaya yang menurut beliau menjejaskan usaha kerajaan dalam memajukan pendidikan di Sabah .

Puad berkata, kenyataan Pengarah Pelajaran Sabah itu boleh mengelirukan orang ramai dan ianya seolah-olah mempertikaikan kredibiliti Kementerian Pelajaran dan perkara yang melibatkan prosedur kewangan perlu dipatuhi dan sebagai penjawat awam mereka faham perkara itu.

“Saya akan bawa perkara ini dalam mesyuarat ke Kabinet untuk dikaji terhadap kenyataan yang dikeluarkan beliau (Muhiddin)… apakah patut atau tidak seseorang penjawat awam membuat kenyataan sedemikian,” tegasnya.