16 penanam sayur tinggal sehelai sepinggang

0

MUSNAH... Beginilah keadaan kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah setinggan yang didiami oleh sekumpulan penanam sayur di Kundasang.

RANAU:  Sekumpulan penanam sayur warga asing berputih mata apabila melihat kediaman mereka di Kampung Lembah Permai, Kundasang dekat sini musnah terbakar kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, kesemua 16 penanam sayur terbabit dikatakan sedang sibuk bekerja di sebuah ladang sayur yang terletak tidak jauh dari kediaman mereka.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Nor Amit ketika dihubungi kelmarin berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 12.38 dan satu jentera bomba bersama empat anggota kemudiannya tiba di tempat kejadian pada jam 12.40 petang.

“Api berjaya dikawal tidak lama selepas itu dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.38 petang.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku kerana ketika kejadian penghuni rumah terbabit sedang bekerja di ladang yang terletak tidak jauh dari situ,” katanya menambah punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.