Sabah catat pulangan ekonomi positif

0

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan pulangan ekonomi yang positif bagi tahun 2010 dengan lebihan perdagangan sebanyak 40.5 peratus berbanding tahun 2009.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata dari tahun ke tahun, pertumbuhan eksport barangan meningkat sebanyak 17.39 peratus kepada RM43.62 bilion dan peningkatan import sebanyak 7.5 peratus kepada RM27.9 bilion.

Menurutnya, jumlah keseluruhan perdagangan Sabah tahun 2010 adalah 6.1 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi Malaysia.

“Ini adalah satu transformasi positif bagi Sabah selepas kemerosotan ekonomi pada tahun 2008,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Makan Tengahari Tahunan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Cawangan Sabah di sini kelmarin. Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya yang juga Menteri Pembangunan  Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Dr Yee Moh Chai.

Musa berkata, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, jumlah perdagangan yang diperolehi mencapai RM18.9 bilion dengan jumlah eksport bernilai RM11.8 bilion dan import berjumlah RM7.1 bilion.

Jelasnya, lima produk eksport terbesar Sabah termasuklah minyak sawit, petroleum mentah, isirong minyak sawit, papan lapis dan metanol menghasilkan 82.6 peratus daripada jumlah eksport bagi tempoh terbabit.

Selain itu, jelasnya, sektor pelancongan Sabah turut menunjukkan prestasi positif secara berterusan dan ia adalah sektor utama yang menyumbang kepada ekonomi negeri ini.

“Bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, seramai 870,179 pelancong datang ke negeri ini yang mana ia menunjukkan peningkatan sebanyak 12.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Kerajaan yakin dengan perkembangan sektor pelancongan seterusnya mensasarkan seramai lima juta pelancong dengan kemasukan sebanyak RM8 bilion ke negeri ini pada tahun 2015,” katanya.

Tambahnya, kesemua jumlah berkenaan menunjukkan kerja keras dan komitmen daripada semua sektor.

Beliau percaya Sabah akan terus menikmati semangat kemajuan ekonomi di hadapan. Namun, ia memerlukan infrastruktur yang baik seperti perhubungan jalan raya yang sewajarnya serta bekalan elektrik dan  air yang lebih baik.

Turut hadir, Pengerusi MICCI Sabah, Datuk A. Arulpragasam dan Presiden Federation of Sabah Manufacturer (FSM), Datuk Seri Wong Khen Thau.