Ibu anak dua dinobat Graduan Cemerlang Anugerah GERKO

0

MERAIKAN KEJAYAAN: Graduan-graduan IPG Kampus TAR dan Kampus Sarawak, Miri yang meraikan kejayaan masing-masing selepas majlis konvokesyen di IPG Kampus TAR, Samarahan, semalam. — Gambar Jeffery Mostapa

KOTA SAMARAHAN: Pengorbanan dengan meninggalkan anak-anak berjauhan demi menuntut ilmu ternyata tidak sia-sia bagi Linda Kasa, apabila dinobatkan Graduan Cemerlang Anugerah GERKO pada Majlis Konvokesyen IPG TAR dan IPG Kampus Sarawak, Miri 2011.

Linda yang merupakan salah seorang daripada 412 graduan berkata, beliau turut tidak menjangkakan dirinya akan mendapat anugerah yang diberikan.

“Saya memang tidak menjangkakan akan mendapat anugerah ini kerana saya tahu banyak persaingan, apa pun saya gembira dengan hasil usaha saya selama ini,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Konvokesyen Bersama Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Abdul Razak (TAR) dan IPG Kampus Sarawak Miri yang dirasmikan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di sini, semalam.

Bagi graduan yang berasal dari Sri Aman itu, beliau terpaksa berkorban dengan meninggalkan dua orang anaknya bersama ibu di kampung sepanjang menuntut di IPG Miri dan kini ditempatkan mengajar di SK Rancangan Sepupok di Niah.

“Saya hanya dapat balik dalam sebulan sekali kerana banyak program dilakukan di sekolah,” katanya yang berusia 31 tahun.

Selain Linda, seorang lagi penerima anugerah cemerlang, Betty Satu turut melahirkan rasa syukur dan gembira kerana segala usahanya selama ini me-nunjukkan hasil.

“Saya berharap dengan ini saya dapat menjadi guru yang lebih baik untuk mendidik anak bangsa kita,” katanya dengan nada gembira ketika ditemui pemberita.

Betty yang menerima Anugerah Keseluruhan dan Anugerah Akademik merupakan pelajar yang mengkhusus dalam bidang Kajian Sosial.

Betty, 33, berkata, minatnya dalam bidang mengajar mendo-rong beliau melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan.

Kata graduan IPG TAR itu, beliau kini telah ditempatkan mengajar di SK Pelaman Baki di daerah Serian sejak enam bulan lepas.

Sementara itu, Pengarah IPG Kampus TAR dalam ucapannya berkata, majlis konvokesyen itu membabitkan graduan IPG TAR daripada kumpulan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) ambilan Jun 2009, ambilan Januari 2010 dan ambilan Jun 2010.

Selain itu penganugerahn itu juga melibatkan kumpulan KPLI j-QAF ambilan Jun 2009 dan Kumpulan Diploma Pendidikan Malaysia (KPDM) dan KDC (Kursus Dalam Cuti) KEMAS/Perpaduan ambilan Mei 2007.

“Bagi IPG Kampus Sarawak, Miri seramai 31 graduan menerima Diploma Pendidikan masing-masing iaitu daripada kumpulan KPLI ambilan Jun 2009, KPLI j-QAF ambilan Jun 2009 dan kumpulan KPLI ambilan Jun 2010,” tegasnya.

Beliau berkata, peranan pendidik adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi ilmu serta akhlak agar segala ilmu yang diperolehi dapat disalurkan kepada kebaikan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Justeru, di sinilah pentingnya watak-watak murni dibentuk dalam diri pelajar agar hasrat untuk mencapai produk yang berkualiti menjadi realiti.

“Semua ini hanya akan dapat dilakukan sekiranya warga pendidik dapat melaksanakan peranan mereka terutama dalam usaha memperkukuhkan perpaduan, membina identiti nasional dan semangat kebangsaan serta membangunkan sumber manusia bersesuaian dengan keperluan menghadapi globalisasi,” katanya.