Rapatkan jurang teknologi

0

TAHNIAH: Taib menyampaikan sijil kecemerlangan kepada graduan, Betty Satu yang menerima Anugerah Keseluruhan dan Anugerah Akademik. Turut kelihatan Rijeng (kanan). — Gambar Jeffery Mostapa

KM saran guru guna teknologi untuk mengajar khasnya kepada pelajar luar bandar

KOTA SAMARAHAN: Para guru di negeri ini disaran memperluaskan pendekatan mengajar dengan mengguna-kan sistem teknologi komunikasi seperti Wi-Fi kepada pelajar terutama di luar bandar.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ber-kata, ia bagi merapatkan jurang teknologi dalam kala-ngan pelajar bandar dan luar bandar yang disifatkan masih berlaku ketika ini.

“Namun perkara ini sedang diatasi apabila kerajaan Sara-wak telah mengambil keputusan untuk mempelopori rangkaian Wi-Fi di kawasan luar bandar tanpa perlu me-nunggu penyedia sektor swasta ke pedalaman.

“Antaranya pendekatan guru menggunakan Wi-Fi de-ngan perisian lebih baik me-nerusi sistem yang dibuat untuk mengajar anak-anak seko-lah melalui Internet,” kata-nya berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Abdul Razak dan IPG Kampus Sarawak Miri yang turut dihadiri isteri beliau, Puan Sri Ragad Kurdi Taib di Dewan Sri Samarahan di sini, semalam.

Menurut Taib keputusan kerajaan negeri itu yang telah dilaksanakan lima tahun lalu telah memilih bahagian Mukah untuk menggunakan sistem berkenaan.

“Saya berharap jika pelaksanaan ini menampakkan ha-sil, kita akan perluaskan ia ke seluruh kawasan di luar bandar dan ia merupakan salah satu dasar kerajaan bagi menjamin anak-anak luar bandar tidak ketinggalan,” tegasnya.

Beliau berkata, melalui pendekatan Internet yang mempunyai perisian bahan pengajaran yang amat baik, ia memberi banyak manfaat dengan mempercepatkan proses pelajaran kepada anak-anak khasnya dalam sains dan teknologi.

Katanya, selain itu kerajaan persekutuan kini dalam usaha membangunkan sistem pelajaran prasekolah termasuk di Sarawak.

“Kerana dengan memba-ngunkan prasekolah ia membantu mempercepatkan pro-ses belajar anak-anak kita di peringkat lebih awal.

“Dan pada majlis hari ini saya mendapati ramai kalangan graduan kita mengkhusus dalam bidang prasekolah.

“Dengan itu saya berharap anda nanti dapat menjadi guru yang berkualiti selain membantu menyumbang dengan memperkemaskan pelaksanaan pendidikan prasekolah sedia ada di negeri ini dengan lebih baik,” tegasnya.

Dalam pada itu beliau turut meminta masyarakat keseluruhannya supaya menyedari bahawa soal pendidikan anak-anak bukan hanya tanggungan guru sahaja sebaliknya tanggungjawab semua pihak termasuk ibu bapa dan pemimpin masyarakat.

“Guru bukan setakat mengajar tetapi mereka merupakan ibu bapa kedua kepada anak-anak kita dan saya berharap masyarakat dapat memberi sokongan sepenuhnya kepada guru-guru kita,” ujar beliau.

Sementara itu mengenai peratusan penembusan jalur lebar termasuk WiFi di negeri ini, Taib yang ditemui pemberita selepas majlis berkata lebih tiga suku daripada kawasan di Sarawak berjaya diliputi rangkaian berkenaan.

Namun ujarnya satu perkara mengenai WiFi, ia tidak dapat merangkumi semua kawasan terutama kawasan tanah tinggi atau pergunungan tetapi berbeza dengan kawasan tanah rendah yang hampir diliputi.

Apa pun, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan pusat akan meningkatkan usaha menggunakan teknologi baru dalam jalur lebar yang hampir sama dengan WiFi tetapi dengan kelajuan lebih tinggi.

“Sarawak boleh menjadi penyedia perkhidmatan jalur lebar tetapi secara berperingkat dan ia perlu selaras dengan kemampuan kita kerana kita tidak dapat mengembalikan pembiayaan begitu cepat.

“Sebab itu sektor swasta telekomunikasi telah membuat perancangan begitu tinggi untuk kawasan luar bandar,” tegasnya.

Majlis konvokesyen yang melibatkan seramai 412 graduan itu turut dihadiri Pengarah IPG TAR Rijeng Jahet dan Pengarah IPG Kampus Sarawak Miri Nuri Udin.