Perhimpunan dibenar jika di luar KL

0

Tindakan tegas diambil jika penganjur berdegil berhimpun di ibu negara
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, polis akan memberi permit kepada mereka yang menganjurkan perhimpunan di luar Kuala Lumpur hari ini.

“Kelulusan boleh diperoleh segera,” katanya pada satu sidang akhbar di sini semalam.

Hishammuddin berkata, polis akan bertindak tegas terhadap mereka yang masih berdegil untuk menganjurkan perhimpunan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, polis telah bertindak adil dalam membuat keputusan, dan telah juga menolak permohonan daripada Pemuda UMNO dan PERKASA untuk mengadakan perhimpunan hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zulkarnain Abdul Rahman pula berkata, permohonan mendapat permit perhimpunan di sini hari ini tidak diluluskan.

“Saya selaku Ketua Polis Daerah Dang Wangi tidak meluluskan permohonan tersebut setelah penelitian atas dasar keselamatan awam,” katanya kepada pemberita petang semalam.

Beliau berkata, permit itu dipohon pagi semalam oleh seorang wanita yang menggunakan gelaran Pegawai Program Kesedaran Komuniti Selangor.

Mohamad Zulkarnain berkata, dalam permohonan itu, wanita berkenaan mengatakan kira-kira 100,000 orang akan hadir ke perhimpunan itu.

Justeru katanya, jika perhimpunan tersebut diteruskan, tindakan akan diambil di bawah Seksyen 27(5) Akta Polis 1967.

“Bagaimanapun pihak penganjur masih boleh membuat rayuan dalam tempoh 24 jam dari waktu permohonan ditolak (semalam) kepada Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh secara bertulis,” katanya. — Bernama