Samarahan sedia jadi bandar

0

Pentadbirannya sedia ditransformasi daripada Majlis Daerah kepada Majlis Perbandaran

MENGIMBAU SEJARAH: Taib menerangkan beberapa fakta mengenai Kota Samarahan kepada isterinya, Ragad. — Gambar Jeffery Mostapha

KOTA SAMARAHAN: Pentadbiran di bahagian ini bersedia untuk ditransformasikan daripada Majlis Daerah kepada Majlis Perbandaran hasil daripada pelaksanaan program pembangunan yang drastik.

Menurut Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Kota Samarahan setakat ini berada di tangga kelima kawasan pesat membangun selepas Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu.

“Kerajaan akan mentransformasikan pihak berkuasa tempatan bahagian Samarahan kepada Majlis Perban-daran sama seperti Padawan.

“Samarahan sudah bersedia untuk menjadi kawasan bandar.

“Lagipun kita mempunyai tiga universiti, ada lebuh raya, beribu-ribu rumah baru dan pelbagai pembangunan di kawasan pusat ilmu di Samarahan ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Perayaan 25 Tahun Penubuhan Bahagian Samarahan.

Hadir sama, isterinya Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Men-teri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong dan Residen Bahagian Samarahan Rodziah Morshidi.

Taib yang juga Menteri Kewangan memberitahu, walaupun proses mengolah dan menyusun semula pentadbiran akan memerlukan sejumlah wang, namun beliau yakin kawasan tersebut bersedia dalam menghadapi-     nya.

Pembangunan pesat dalam masa 25 tahun penubuhan bahagian itu, katanya hasil persefahaman dan kerjasama rapat dengan pemimpin akar umbi dengan kerajaan.

Menurutnya, tanpa tujuan dan impian yang sama perkara itu tidak mungkin dapat dikecapi.

“Selamat maju jaya kepada Samarahan dalam menjadi majlis perbandaran,” katanya tanpa mengulas lanjut bila ia dijangka akan dilaksanakan.

Sementara itu, Manyin yang juga merupakan bekas walikota Majlis Daerah Samarahan berkata, atas usaha gigih semua pihak, kawasan tersebut yang dahulunya mundur berjaya ditukarkan kepada kawasan serba lengkap.

“Kita bukan sahaja me-raikan ulang tahun ke-25 penubuhan Samarahan tetapi juga pembangunan dan kita tahu siapa di sebalik pembangunan tersebut … tidak lain tidak bukan, Ketua Menteri kita,” katanya.