JKKN bantu usaha kekalkan makanan tradisi Sabah

0

Pesta makanan antara program utama sokong usaha itu

BELURAN: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah menjadikan pesta makanan tradisi suku kaum di negeri ini antara program utama jabatan itu dalam usaha mengekalkan makanan tradisi untuk generasi masa depan.

Pengarahnya Ramlah Amir berkata sebanyak 13 pesta makanan tradisi suku kaum akan dianjurkan di negeri ini membabitkan kawasan di bandar dan luar bandar yang akan membabitkan penglibatan orang awam serta pihak swasta.

Beliau berkata ia dilaksanakan di bawah Program Merakyatkan Seni Budaya di bawah Kementerian Kebudayaan Penerangan dan Komunikasi yang dianjurkan sejak 2006 di seluruh negara.

“Pengisian pesta makanan tradisi itu bagi memastikan makanan tradisi setiap kaum di negara ini tidak dilupakan oleh generasi masa depan dan usaha mengekalkan harus dilakukan secara bersama,” katanya ketika menutup Pesta Makanan Tradisi Kadazandusun Labuk di Kampung Kuala Sapi dekat sini malam kelmarin.

Sebanyak 15 makanan tradisi suku kaum itu dihidangkan serta dijadikan juadah kenduri sekampung pada majlis itu yang disempurnakan oleh Anggota Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee. Menurut Ramlah pesta makanan tradisi di Kampung Kuala Sapi ini adalah yang keempat dianjurkan membabitkan kategori luar Bandar dan selepas ini akan dianjurkan di kawasan bandar.

Beliau berkata pada masa sekarang makanan tradisi suku kaum di negeri ini belum banyak dikomersialkan dan penganjuran pesta itu akan membantu usaha mempromosikannya. — Bernama