Rumah panjang 50 tahun ke atas diwarta warisan nasional

0

CERIA: Muhyiddin memalu gong bagi menandakan perasmian majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak Malaysia 2011 di Rumah Wilson Begat Bakir, Penom Ulu Paku di Betong, semalam. Turut hadir isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman (dua kiri), Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim (kanan), Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Douglas Unggah (dua dari kiri), Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu (tiga kanan). — Gambar Bernama

BETONG: Rumah panjang yang berusia 50 tahun ke atas akan diwarta sebagai warisan nasional demi mengekalkan identiti rumah panjang tradisional di negeri Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau setuju agar rumah panjang lama yang berusia 50 tahun ke atas diwartakan sebagai warisan nasional bagi mengekalkan identiti rumah panjang kaum Iban untuk tatapan generasi akan datang.

“Saya meluluskan permohanan ini supaya reka bentuk lama rumah panjang di negeri ini terus kekal  selama-lamanya,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Gawai Dayak 2011 di Rumah Wilson Begat Bakir, Penom Ulu Paku, Betong, di sini, semalam.

Rumah Wilson Begat yang kebetulan rumah panjang Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Seri Douglas Uggah Embas kini berusia 85 tahun.

Turut hadir dalam majlis itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim serta menteri-menteri kabinet persekutuan dan negeri.

Sementara itu katanya, majlis seumpama ini diadakan bertujuan menyemarakkan semangat sambutan Gawai yang dirayakan di rumah panjang.

“Saya menganggap Sarawak sebagai negeri kedua kegemaran saya berbanding semua negeri dalam Malaysia dan berasa amat seronok setiap kali melawat negeri ini.

“Lagipun perpaduan utuh yang wujud di kalangan penduduk berbilang kaum di negeri ini sememangnya tidak syak lagi menunjukkan bahawa konsep 1Malaysia sememangnya sudah lama wujud di negeri ini,” katanya.

Menurut Muhyiddin kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mengotakan janji pilihan raya kepada rakyat negeri Sarawak termasuk di Betong setelah meluluskan beberapa projek yang dijanjikan semasa pilihan raya negeri pada 16 April lalu.

“Bagi janji yang belum ditunaikan lagi saya harap rakyat bersabar dan kelewatan menunaikan janji itu bukan bererti kerajaan BN tidak mempedulikan anda kerana ia akan tetap dilaksanakan kelak,” ujarnya.

Dalam majlis itu Muhyiddin meluluskan RM4.5 juta untuk tujuan projek akuakultur ikan terubuk, 900 unit komputer 1Malaysia untuk murid terpilih dan RM350,000 untuk pembinaan gereja baru SIB Betong.

Majlis Rumah Terbuka Malaysia Gawai Dayak 2011 diserikan lagi dengan upacara miring, persembahan taboh/sape, persembahan Timang Pemansang Wawasan 2020, tarian ajat ngabang Gawai dan persembahan khas Kumang Gawai Dayak 2011.