SAVA dalam proses ambil ahli bagi himpun pesara Jabatan Pertanian

0

PENGAMBILAN AHLI: Johnny (duduk dua kanan) dan ahli jawatankuasa protem Persatuan Veteran Pertanian Sarawak dalam proses pengambilan ahli.

KUCHING: Persatuan Veteran Pertanian Sarawak (SAVA) dalam proses pengambilan ahli bagi menghimpunkan ribuan pesara Jabatan Pertanian di negeri ini di bawah satu bumbung.

Presiden Protemnya  Johnny Chien berkata, ahli pertanian di negeri ini khususnya pesara, telah banyak menyumbang kepada industri tanaman dan makanan dalam pelbagai sektor.

“Kami telah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti di jabatan ini sejak awal 1950 dan telah membuahkan banyak hasil pertanian yang memberangsangkan kepada negeri.

“Sebagai pesara, kami harus berbangga kerana pernah berkhidmat dalam sektor yang telah banyak membantu menyumbang kepada sumber makanan seperti sayur-sa-yuran, daging, ikan dan buah-buahan.

“Melalui penubuhan SAVA, ia bukan sahaja menghimpunkan ribuan pesara jabatan malah akan dijadikan sebagai platform untuk berkongsi kejayaan untuk disumbangkan semula kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media SAVA di Pejabat Kuarantin Tumbuhan Jabatan Pertanian, Jalan Kumpang di sini semalam.

Pendaftaran penubuhan SAVA telah diiktiraf oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada Jun lalu dan akan memulakan pengambilan ahli bermula Julai hingga September ini.

Keahlian dibuka kepada semua pesara kakitangan Jabatan Pertanian dan permohonan boleh dibuat melalui Internet menerusi alamat e-mel [email protected] atau hubungi Johnny dan ahli jawatankuasa yang lain.

Yuran kemasukan dikena-kan sebanyak RM10 manakala keahlian sepanjang hayat berjumlah RM50 dan boleh dibayar terus ke akaun Hong Leong Bank, Central Park (08800031783).

Dalam pada itu, persatuan turut menawarkan ganjaran berjumlah RM100 kepada mereka yang berjaya mencipta logo SAVA untuk kegunaan rasmi persatuan sehingga akhir September ini.