Rakyat miskin di Sabah dilindungi insurans 1Azam

0

32,412 ketua isi rumah miskin, miskin tegar dapat manfaat

KOTA KINABALU: Seramai 32,412 ketua isi rumah miskin (KIRM) dan miskin tegar (KIRMT) di Sabah yang berusia di bawah 70 tahun dan berdaftar dalam sistem e-Kasih akan menikmati perlindungan insurans 1Azam, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata, skim insurans itu merupakan program terbaru kerajaan pusat dalam memberi perlindungan kepada keluarga yang masih perlu dikeluarkan daripada kemiskinan.

“Di bawah skim insurans ini, bayaran bagi ketua isi rumah yang meninggal dunia bukan akibat kemalangan ialah RM10,000, manakala bayaran bagi ketua isi rumah atau isteri atau anak yang meninggal akibat kemalangan pula masing-masing RM20,000, RM10,000 dan RM5,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat dan Pembasmian Kemiskinan Peringkat Negeri di sini, semalam.

Sementara itu, Musa berkata, seramai 96 KIRMT di Tawau telah mula tinggal di Ladang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Kalabakan sejak bulan lepas.

Sebanyak 115 buah rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) dibina di ladang kelapa sawit itu, katanya.

Beliau juga berkata, 105 buah rumah di Ladang PPRT Tongod siap dibina akhir bulan lepas manakala 40 buah di Mini Estet Sejahtera (Mesej) Akuakultur Kampung Kiandut, Pitas akan mula diduduki akhir bulan ini.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar Negeri telah memperuntukkan RM1 juta kepada Jabatan Perikanan Sabah bagi pembinaan 40 buah kolam penternakan ikan payau di MESEJ tersebut.

“Sejumlah RM1 juta juga telah diperuntukkan bagi pembinaan 44 buah kolam serupa di MESEJ Akuakultur Kampung Sarap Siampak, Menumbok di mana 44 buah rumah KIRMT telah pun siap dibina,” katanya. — Bernama