Cabaran Kapal Layar Antarabangsa Borneo ke-8 bermula!

0

BERMULA: Lee (empat kanan) membunyikan hon sebagai simbolik upacara melepaskan para peserta BIYC ke-8 untuk pelayaran Miri ke Kota Kinabalu yang bermula semalam.

MIRI: Kesemua 38 peserta memulakan cabaran masing-masing pada Cabaran Kapal Layar Antarabangsa Borneo (BIYC) kali ke-8 yang pastinya lebih mencabar dengan menyajikan laluan sejauh 167 batu nautika dari Miri ke Kota Kinabalu.

Penganjuran kali ini menyaksikan penyertaan paling ramai dari Australia dengan 17 penyertaan, Malaysia (4), New Zealand (2), Switzerland (3), United Kingdom (4), Amerika Syarikat (2) sementara Austria, Kanada, Perancis, Jerman, Filipina serta Afrika Selatan masing-masing menghantar satu penyertaan.

Upacara melepaskan para peserta kapal layar yang berlangsung di Marina Bay di sini pagi semalam telah disempurnakan Datuk Lee Kim Shin selaku Menteri Muda Sukan merangkap pengerusi penganjur BIYC.

Hadir sama pada upacara itu ialah Residen Miri Antonio Kahti Galis, Pegawai Daerah Miri Boniface Intang Ipat serta ahli-ahli jawatakuasa penganjur yang lain.

Menurut Lee, penganjuran BIYC kali ke-8 ini sudah pasti menjanjikan cabaran yang begitu mencabar dan lasak dengan laluan pelayaran sejauh 167 batu nautika dari Miri ke Kota Kinabalu.

“Apakan tidaknya, para peserta terpaksa mengambil masa antara 42 hingga 52 jam untuk sampai di Kota Kinabalu bagi menamatkan cabaran (pelayaran) itu dan jangka masa ini merupakan yang paling panjang dalam sejarah sukan layar di Malaysia,” ujar beliau lanjut.

Dalam pada itu menurut Lee, BIYC merupakan salah satu acara yang istimewa serta berprofil tinggi kerana ia bukan hanya menarik penyertaan rakyat tempatan tetapi juga dari serata dunia.

Dalam pada itu, semua peserta yang mengambil bahagian telah tiba di Miri untuk proses pendaftaran yang dilakukan pada 15 dan 16 Julai lalu diikuti dengan acara Miri Harbour Race yang berlangsung pada 17 Julai lalu.

Kesemua peserta yang berlepas pagi semalam dijangka tiba di Kota Kinabalu pada 20 Julai atau selewat-lewatnya pagi 21 Julai untuk menamatkan BIYC ke-8.

Manakala pada 22 Julai, para peserta akan berentap pula dalam acara Kota Kinabalu Harbour Race dan diikuti dengan majlis makan malam dan penyampaian hadiah pada sebelah malamnya yang akan diadakan di Hotel Sutera Harbour, Kota Kinabalu.