Kehilangan besar buat S’wak

0

Pemergian James Wong diratapi dan dirindui lapisan rakyat M’sia


KUCHING: Pemergian Datuk Amar James Wong (gambar), anak jati Sarawak sebenar merupakan satu kehilangan besar kepada negeri ini.

Presiden Parti Rakyat Sarawak Tan Sri James Masing berkata, pemergian Datuk Amar James Wong akan diratapi dan dirindui oleh semua rakyat Malaysia kerana mendiang merupakan salah seorang individu yang menjadikan penubuhan Malaysia berjaya.

“Walaupun saya tidak pernah menjadi sebahagian daripada SNAP (Parti Kebangsaan Sarawak), saya mengagumi dan menghormati kepimpinan beliau.

“Beliau mempunyai sejarah berwarna-warni. Takziah kepada keluarga mendiang,” katanya.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdul Karim Rahman Hamzah turut menyifatkan pemergian Wong kehilangan besar kepada Sarawak.

“Beliau merupakan salah seorang penandatangan perjanjian penubuhan Malaysia dan banyak menyumbang terhadap pembangunan dan politik di Sarawak.

“Beliau akan terus diingati sebagai anak jati Sarawak yang sebenar dan takziah diucapkan kepada keluarganya, semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya.

Setiausaha SNAP Stanley Jugol berkata, mendiang yang juga bekas presiden SNAP merupakan seorang yang memperjuangkan apa yang dipercayainya berhabis-habisan.

“Beliau (Wong) pernah ditahan ISA selama dua tahun (Mac 1974 hingga 1976) kerana berkeras mempertahankan apa yang dipercayainya,” katanya.

Menurut Jugol, peranan penting mendiang dalam penubuhan Malaysia patut dipuji.

Tambahnya, Wong juga wajar dipuji  atas bukunya mengenai penubuhan Malaysia.

“Golongan belia perlu membaca buku tersebut kerana ia mengandungi maklumat bernilai selama penubuhan negara ini,” katanya.

Manakala Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Chong Chieng Jen turut menyifatkan Wong sebagai anak jati negeri yang sebenar.

Ahli Parlimen Bandar Kuching itu memberitahu, di bawah kepimpinan Wong, SNAP telah muncul sebagai parti politik terkuat di negeri ini suatu ketika dulu.

“Mendiang Datuk Amar James Wong merupakan seorang anak jati Sarawak sebenar yang sukar ditemui.

“Perjuangan politik dan pengorbanan untuk kebaikan dan kebajikan Sarawak perlu dicontohi oleh generasi politik akan datang,” katanya.