Rombakan tugas di Balai Bomba Miri, Lopeng imbangan bilangan anggota

0

TAHNIAH: Hisham memakaikan pingat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada salah seorang penerima di Miri, semalam.

MIRI: Satu rombakan tugas akan dilakukan untuk mengatasi masalah ketidakseimbangan  bilangan anggota di antara Balai Bomba Miri dan Balai Bomba Lopeng yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat berkuat kuasa Ogos ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Nor Hisham Mohammad berkata rombakan atau perubahan ini akan melibatkan beberapa anggota di Balai Bomba Miri yang akan ditugaskan ke balai Lopeng untuk membantu sewaktu berlaku kes-kes kecemasan.

“Perubahan ini akan melibatkan beberapa anggota di balai Miri yang akan ditugaskan ke balai Lopeng bagi membolehkan anggota di kedua-dua balai terbabit  bertindak lebih pantas dengan kekuatan anggota yang mencukupi ketika berlaku sesuatu kes kecemasan,” ujar beliau lanjut.

Buat masa ini jelasnya, balai Miri mempunyai bilangan anggota yang ramai dengan kawasan liputan lebih kecil, berbanding balai Lopeng yang meliputi kawasan lebih luas namun kekurangan anggota.

“Berikutan masalah ketidakseimbangan ini, justeru kita merasakan amat perlu untuk melakukan perubahan sebegini sebagai langkah untuk mengatasinya agar mereka boleh bertindak lebih pantas dengan kapasiti anggota yang mencukupi terutama bila berlaku kes-kes kecemasan,” katanya.

Hisham memberitahu demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan sulung ke Balai Bomba Lopeng di sini pagi semalam.

Hadir sama ialah Penguasa Bomba Zon Miri, Unjar Lum, timbalannya merangkap Ketua Balai Bomba Lopeng Mohd Ayub Hassan dan Ketua Balai Bomba Miri, Ali Bema Jelik.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 12 anggota dari balai Miri, Lopeng dan Marudi sebagai penghargaan kepada mereka yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang.

“Anugerah ini diberikan sebagai penghargaan pihak jabatan kepada para anggota yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang,” ujarnya sambil menambah ketua jabatan boleh mencadangkan kakitangan dan juga pesara bomba yang telah menunjukkan rekod perkhidmatan cemerlang untuk menerima anugerah tersebut.

Dalam pada itu menurut Hisham, projek pembinaan balai bomba yang baru di Song, Kapit kini telah siap sebanyak 23.6 peratus.

“Ini bermakna ia telah kelewatan sebanyak 1.4 peratus daripada yang dijadualkan dan kelewatan itu bukan disengajakan sebaliknya berpunca dari cuaca buruk yang sering melanda kawasan berkenaan,” jelasnya.