Penyelidikan pembiakan empurau perlu untuk tingkatkan kualiti, kuantiti

0

KUCHING: Pelbagai penyelidikan tentang sistem ternakan, pemakanan dan pembiakan aruhan mengenai ikan empurau atau kelah perlu dijalankan bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti spesies ikan termahal itu.

Timbalan Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Fadillah Yusof berkata, ikan empurau yang mempunyai nilai pemuliharaan dan potensi dalam bidang akuakultur, bagaimanapun menunjukkan bilangan yang makin berkurangan.

Menurut beliau, dise-babkan ancaman daripada pencemaran sungai, aktiviti mengorek pasir, pembangunan, memancing yang tidak terkawal dan sebagai-nya.

“Ini telah menyebabkan ikan empurau atau kelah dikategorikan dalam spesies ikan terancam dan sekiranya keadaan ini dibiarkan berlarutan dan tidak terkawal, kepupusan ikan ini akan berlaku,” katanya berucap pada majlis Bengkel Pelan Strategik Penyelidikan Empurau/Kelah yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu di sini, semalam.

Menurut beliau lagi, penyelidikan terhadap ikan empurau amat penting bagi tujuan pemuliharaan dan perkembangan industri akuakultur ikan empurau di negara ini.

Fadillah memberi contoh, misalnya kajian teknik pembiakan aruhan akan dapat meningkatkan kadar ‘survival’ dan pengeluaran benih ikan empurau yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran.

“Sebahagian dari anak benih ikan ini juga harus dilepaskan ke dalam sungai, tasik dan takungan air semula jadi lain untuk penstokan semula jadi,” katanya.

Tambah beliau, harga ikan empurau yang mahal dan mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran akan memastikan akuakultur ikan itu menjana pendapatan lumayan kepada penternak dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara.

Selain mempunyai nilai harga yang tinggi, empurau kata beliau berpotensi besar dalam industri ikan hiasan disebabkan warna dan corak sisiknya yang unik dan cantik.

Menurut beliau, permintaan tinggi global untuk produk akuakultur dijangka akan meningkat dari RM251 bilion pada tahun 2005 ke RM635 bilion pada tahun 2020 dengan kadar pertumbuhan tujuh peratus.

“Ini menunjukkan industri akuakultur akan berkembang dengan pesat, demikian juga akuakultur ikan empurau akan menjadi satu industri yang dapat menyumbang kepada Pengeluaran Negara Kasar (PNK) negara,” tegasnya.

Mengenai bengkel yang dianjurkan, Fadillah berkata, ia amat penting untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman serta idea dan seterusnya menjalinkan hu-bungan kerjasama penyelidikan bukan sahaja antara Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan agensi kerajaan tetapi juga pihak swasta.

“Kerjasama sektor awam dan swasta ini membolehkan IPTA, institusi dan agensi kerajaan yang menjalankan penyelidikan lebih memahami keperluan pasaran,” katanya.

Seminar anjuran MOSTI melalui Institut Agro-Bio-teknologi, Malaysia (ABI) dan Jabatan Pertanian Sarawak dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Malaysia Terengganu menyaksikan sebanyak 11 kertas kerja akan dibentang dan dibincangkan.

Seminar bermula dari 19 hingga 22 Julai ini buat julung kalinya diadakan yang hanya memfokuskan penternakan empurau dan dihadiri pakar dan saintis tempatan.

Hadir sama ialah Pemangku Ketua Pengarah ABI Profesor Madya Dr Norihan Mohd Salleh dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perikanan Darat, Jabatan Pertanian Sarawak, Boniface Litis.