RUMAH PENDUDUK TERANCAM, KERAJAAN DIMINTA BANTU

0

SIPITANG: Pemimpin yang kecewa dengan sikap pihak berwajib terhadap masalah tanah runtuh di tebing sungai berhampiran sebuah rumah penduduk di Kampung Kalamauh di sini meminta kerajaan mengambil tindakan segera bagi mengelak sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Ketua Anak Negeri Mukim Mesapol, Mohd Yassin Pungut, berkata tebing Sungai Lukutuan berhampiran rumah itu mengalami hakisan secara berterusan dan masalah itu sudah dimaklumkan oleh pemimpin setempat kepada pihak berkuasa.

“Saya diberitahu oleh ketua kampung bahawa beliau telah memaklumkan perkara ini kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) secara bertulis. Di samping itu, masalah ini juga telah disampaikan ke pengetahuan Pejabat Daerah, namun sehingga hari ini belum ada sebarang tindakan,” katanya sambil memberitahu sebatang tiang elekrik kini hanya tinggal menunggu masa untuk tumbang dan ia dikhuatiri mendatangkan musibah kepada penduduk.

Sehubungan itu, beliau amat berharap agar perkara ini diambil perhatian serius oleh kerajaan kerana pengabaian terhadap kebajikan penduduk akan menjejaskan nama baik dan rakyat akan hilang kepercayaan terhadap kerajaan.

Tinjuaun Utusan Borneo mendapati tebing sungai itu kini hanya beberapa meter dari rumah penduduk dan tiang bekalan elektrik ke rumah penduduk di situ dalam keadaan yang amat membimbangkan.

Sementara itu, Ketua Kampung Kalamauh, Amdan Osman, berkata beliau telah memaklumkan kepada JPS mengenai ancaman tanah runtuh itu terhadap rumah penduduk dan juga tiang elektrik berkenaan.

“Saya telah menghantar surat kepada JPS beberapa bulan yang lalu untuk memaklumkan masalah ini untuk mendapatkan bantuan dan tindakan mereka dalam perkara ini. Saya juga memaklumkan perkara ini ke pengetahuan JKKK secara lisan,” katanya.