Tempoh bertenang dihentikan, PTI yang telah mendaftar boleh segera kembali ke negara ini untuk bekerja

0

PENAMPANG: Program pendaftaran pekerja tanpa izin (PTI) yang berjalan sejak 18 Julai lepas kini dipermudahkan lagi dengan pengenalan beberapa pendekatan baru termasuk menghentikan ‘cooling period’ yang mana akan memudahkan majikan yang ingin menggaji semula pekerja asing mereka selepas tamat tempoh 5P (Pendaftaran, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran).

PANTAU...Sukarti (berdiri tiga dari kiri) bersama dengan Mentek (berdiri dua dari kiri) memantau program pendaftaran di Dewan Siga, Penampang kelmarin.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Sukarti Wakiman berkata sebelum ini setiap PTI yang mendaftar dan telah pulang ke negara asal hanya boleh kembali semula ke negara ini selepas dua bulan.

“Bagaimanapun, sempena dengan program pendaftaran 5P ini, kita hentikan ‘cooling period’ di mana PTI yang telah mendaftar dan pulang ke negara asal boleh terus segera kembali ke sini untuk bekerja.

“Perkara ini kita telah persetujui selepas berbincang dengan dua negara jiran iaitu Indonesia dan Filipina bahawa tiada ‘cooling period’…asalkan mereka telah daftar, dapatkan dokumen perjalanan yang sah serta sudah ada kebenaran mereka boleh ‘U-turn’ untuk datang semula ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat program pendaftaran 5P yang diadakan di Dewan Siga di sini kelmarin. Hadir sama Pengarah Imigresen Sabah, Mohammad Mentek.

Selain itu, katanya, satu lagi kemudahan yang diperkenalkan ialah pemeriksaan kesihatan pekerja asing di mana mereka boleh terus membuat pemeriksaan kesihatan di negeri ini selepas mendaftar.

“Perkara ini juga kita telah setuju di mana semua pekerja asing boleh membuat pemeriksaan kesihatan di negara ini malah boleh dibuat lebih awal sejurus selepas mendaftar.

“Ini bagi memudahkan pekerja asing yang memang ingin datang semula ke sini untuk bekerja di mana mereka boleh membuat pemeriksaan di sini selepas mendaftar dan apabila kembali semula ke sini, mereka tidak perlu lagi berbuat demikian,” katanya menambah pemeriksaan kesihatan boleh dibuat hanya oleh doktor panel yang telah dipilih.

Dalam pada itu, Sukarti memberitahu setakat Jumaat lepas, seramai 15,566 PTI telah mendaftar di semua sembilan lokasi pendaftaran seluruh negeri.

Bagaimanapun, katanya, hanya 42 daripada 1,143 ladang yang dikenal pasti mempunyai pekerja asing yang ramai yang telah menghantar pekerja mereka untuk mendaftar.

“Jadi kita harap, dalam masa seminggu lagi tempoh pendaftaran 5P ini, mereka akan datang untuk mendaftar dan saya juga nasihatkan kepada para majikan menyuruh PTI mereka pergi mendaftar…kalau boleh mereka (majikan) hantar sendiri pekerja asing mereka pergi mendaftar,” ujarnya.

Sehubungan itu, Sukarti turut mengumumkan bahawa pihak Imigresen akan membuat program ‘outreach’ pada minggu depan untuk ke ladang-ladang yang mempunyai bilangan pekerja asing yang ramai.

“Kita harap mana-mana ladang yang akan didatangi Imigresen nanti, pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen sah akan mengambil peluang untuk mendaftar,” katanya.