Hampir seluruh kawasan di Sarawak kini terima siaran radio RTM

0

MIRI: Penerimaan siaran radio, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kini telah meliputi keseluruhan kawasan di negeri ini melalui gelombang pendek (SW).

Menurut Pengarah Penyiaran Kawasan Sarawak Abdul Jalani Mahmud liputan melalui SW adalah lebih meluas berbanding dengan (FM)

“Kita sudah ada dua saluran iaitu Sarawak FM dan Wai FM yang boleh didengari melalui gelombang pendek,” katanya ketika ditemui dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sekali gus majlis Jasamu Dikenang (JD) bertempat di Auditorium Miri semalam.

Turut hadir pada majlis ialah Pemangku Pengurus Stesen Miri, Zulkiffle Daud serta penerima-penerima anugerah.

Walau bagaimanapun, beliau mengatakan bahawa siaran melalui Modulasi Frekuensi (FM) terhad sedikit iaitu sekitar 85 hingga 90 peratus penduduk dapat menerima siaran.

Peratusan berkenaan juga adalah sama merujuk kepada penyiaran televisyen bagi Sarawak, namun RTM katanya, turut bekerjasama dengan syarikat penyiaran berbayar Astro.

Mengenai isi kandungan penyiaran pula, Abdul Jalani mengatakan ia diubah-suai mengikut keperluan Sarawak dan juga tertakluk kepada polisi kementerian.

Pada masa sama, beliau memberitahu bahawa kewujudan dan isi kandungan TVi (saluran 108 Astro) adalah 50 peratus bagi keperluan Sabah dan Sarawak.

Dalam majlis berkenaan, seramai lima orang penerima APC manakala enam lagi menerima anugerah JD.