Kebersihan kedai makan di Alor Setar tidak memuaskan

0

ALOR SETAR: Kebersihan kebanyakan premis perniagaan makanan di bandar raya ini masih berada pada tahap tidak memuaskan termasuk restoran-restoran yang menjadi tumpuan ramai.

Datuk Bandar Alor Setar, Mat Noh Ahmad berkata, selain gerai-gerai tidak berlesen, terdapat juga restoran terkenal terpaksa ditutup selepas pemeriksaan mendapati cara penyediaan makanan di premis itu tidak mencapai tahap kebersihan yang sepatutnya.

Katanya, jika mengikut gred, kebanyakan restoran atau gerai makanan di bandar raya ini hanya mendapat tahap C dan keadaan itu sangat membimbangkan, manakala tahap A hanya diperoleh oleh kebanyakan restoran bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata, bagi meng-atasi masalah berkenaan pihaknya akan memper-banyakkan aktiviti seperti kempen dan kursus khas untuk golongan peniaga bagi meningkatkan tahap kesedaran dalam penyediaan makanan yang bersih.

“Selepas diberi kursus dan ceramah mengenai cara penyediaan makanan yang bersih, penguatkuasaan yang lebih agresif akan dilaksanakan demi menjaga kepentingan pengguna.

“Kami juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan bagi memastikan kedai yang tidak menjaga kebersihan ditutup serta merta untuk memperbaiki tahap kebersihan mereka,” kata Mat Noh selepas menerima Tauliah Pelantikan sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di Istana Anak Bukit, di sini semalam.

Beliau berkata, bagi premis makanan milik peniaga Islam pula, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) bagi memastikan makanan yang disediakan adalah bersih dan suci.

Katanya, MBAS juga akan menggiatkan operasi pemutihan gerai-gerai tidak berlesen dan mencari penempatan baru untuk gerai-gerai di kawasan Taman Wira Mergong, Jalan Gangsa dan Jalan Tun Razak di sini.

“Kawasan-kawasan ini sangat kritikal dari segi gerai tidak berlesen dan jika gerai yang berlesen pun banyak yang kotor apatah lagi gerai-gerai tidak berlesen,” katanya.

Katanya, MBAS mempunyai lebih 60 anggota penguatkuasa yang akan bertindak lebih agresif dalam memastikan semua peniaga mematuhi peraturan dan memenuhi konsep Bandaraya Sejahtera yang mementingkan kebersihan dan keselesaan.

Mat Noh dilantik sebagai Datuk Bandar Alor Setar yang baru menggantikan Datuk Khazali Din yang bertukar ke Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) pada 17 Julai lepas. — Bernama