SKMM, DiGi komited rapatkan jurang digital

0

Pusat Jalur Lebar Komuniti daerah kecil Sematan dilancarkan SEMATAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Maltimedia Malaysia (SKMM) dan DiGi Telecomnication Sdn BHd (DiGi) terus komited untuk merapatkan jurang digital dengan melancarkan satu lagi Pusat Jalur Lebar Komuniti (CBC) di daerah kecil Sematan semalam.

Ketua DiGi Wilayah Sarawak, Benny Wee berkata, pelancaran CBC tersebut adalah sebagai tanda sokongan kepada usaha kerajaan dalam menyampaikan Internet kepada penduduk di kawasan yang kurang mendapat akses internet.

“DiGi komited untuk menyokong usaha kerajaan bagi merapatkan jurang digital dan menawarkan penduduk di kawasan yang kurang mendapat perhatian akses kepada maklumat dan sumber pendidikan yang tidak terhad menerusi Internet.

“Justeru diharapkan dengan adanya pusat ini, ia akan dapat berfungsi sebagai pusat e-pembelajaran untuk para pelajar yang berminat untuk melengkapi pelajaran sekolah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikin ketika berucap di Majlis Perasmian Pusat Jalur Lebar Komuniti Sematan, di sini semalam.

Menurut beliau, pelancaran CBC tersebut juga untuk menepati janji SKMM dan DiGi bagi menyediakan kemudahan Internet di seluruh Sarawak.

“Ia sejajar dengan matlamat keseluruhan kami untuk me-nyampaikan Internet kepada semua dan membolehkan sesiapa sahaja daripada semua lapisan masyarakat menikmati perkhidmatan Internet melalui rangkaian Turbo 3G DiGi.

“Tujuan kita juga adalah untuk menyediakan capaian secara kolektif perkhidmatan jalur lebar kepada komuniti luar bandar,” katanya.

Dalam pada itu, kenyataan akhbar CBC memberitahu sebahagian daripada projek lima tahun yang dimulakan itu dibiayai sepenuhnya oleh SKMM melalui dana Pemberian Perkhidmatan Universal (USP) bagi membantu mempromosikan peluang untuk pemerkasaan sosial dan ekonomi komuniti yang kurang diberi perhatian.

“Ini adalah tapak CBC (Sematan) yang ke-14 diurus dan dikendalikan oleh DiGi. Tapak-tapak CBC yang lain adalah di negeri Johor, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang, termasuk Lundu yang merupakan tapak CBC DiGi pertama yang dilancarkan pada tahun lepas.

DiGi pada majlis tersebut juga telah menyampaikan 100 buah komputer riba untuk pelajar-pelajar daripada beberapa buah sekolah di Daerah Lundu.

Majlis perasmian tersebut semalam telah disempurnakan oleh Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II merangkap Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Ranum Mina, ADUN Demak Laut Dr Hazland Hipni, Timbalan Pengarah SKMM Wilayah Sarawak Adiman Ajem dan Pegawai Daerah Lundu Azmi Bujang.