Dua pencuri kabel dicekup

0

SANDAKAN:  Dua individu berjaya diberkas oleh Polis Bantuan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) baru-baru ini selepas mereka didapati terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di sini.

 

DIBERKAS...Ketika cuba ditahan, suspek dikatakan melawan lalu terjatuh ke dalam timbunan batu-bata dan mengalami kecederaan sebelum diberkas.

Pengarah Urusan SESB, Datuk Ir Baharin Din berkata suspek pertama ditahan pada 16 Jun lepas kira-kira jam 1.50 pagi di mana suspek yang berumur 30an bersama seorang lagi rakannya didapati menceroboh kabel ‘scrap’ milik SESB di kawasan Stor Yard Pejabat Kawasan SESB di sini.

“Bagaimanapun, seorang daripada mereka berjaya melarikan diri, pihak SESB turut berjaya menemui pemotong wayar di tempat kejadian dipercayai digunakan untuk mencuri kabel,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Dalam satu lagi kes, seorang lagi suspek berumur 30an turut berjaya ditahan di kawasan sama pada 15 Julai lepas kira-kira jam 9.15 malam.

Ketika ditahan, suspek dikatakan cuba melawan tetapi terjatuh ke kawasan timbunan batu-bata lalu mengalami kecederaan sebelum diberkas.

“Nilai kabel yang cuba dicuri oleh kedua-dua suspek dianggarkan kira-kira RM150,000, bagaimanapun dengan kecekapan dan kepantasan pihak Polis Bantuan SESB, kedua-dua lelaki itu berjaya diberkas,” tambahnya.

Menurutnya, kejayaan tangkapan oleh anggota Polis Bantuan SESB itu juga menunjukkan impak positif dalam usaha SESB menurunkan kadar kecurian di kawasan berkenaan.

Tambahnya, rondaan dan pemantauan yang kerap di kawasan terlibat adalah antara inisiatif yang menyumbang kepada kejayaan tangkapan pada kali ini.

“Kejadian-kejadian kecurian seperti ini bukan sahaja merugikan pihak SESB tetapi boleh mengakibatkan kelewatan pembangunan dan peningkatan prasarana pembekalan elektrik di kawasan yang terlibat.

“Oleh demikian, SESB memohon kepada semua lapisan masyarakat yang mempunyai maklumat atau mengesyaki kegiatan individu-individu yang mencurigakan di dalam kawasan pepasangan SESB untuk memaklumkan ke pejabat SESB yang terdekat ataupun menghubungi talian 088-282 455,” ujarnya.