Site Last Updated 12:53 pm, Thursday

Persatuan bekas tentera, polis sambut baik imbuhan RM1,000

Posted on August 1, 2011, Monday

SHAH ALAM: Pemimpin persatuan bekas tentera dan polis di Selangor menyambut baik pemberian imbuhan RM1,000 sebulan kepada penerima Pingat Tentera Udara (PTU) dan Pingat Jasa Perkasa Persekutuan (JPP) seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam sempena Hari Pahlawan yang disambut semalam.

Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Negeri Selangor, Mohd Din Husnin berkata pemberian imbuhan itu secara tidak langsung dapat menghargai jasa dan sumbangan wira-wira yang pernah berjuang untuk mempertahankan keselamatan negara.

“Kita tidak nafikan ada bekas tentera yang berjasa kepada negara dan telah bersara mengalami masalah untuk teruskan  kehidupan kerana ada yang tidak mendapat pencen.

“Oleh sebab itu imbuhan tersebut memang sepatutnya diberikan oleh kerajaan kepada mereka,” katanya yang ditemui pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri di perkarangan Tugu Pahlawan Selangor di sini.

Perdana Menteri semasa mengumumkan perkara itu berkata pemberian imbuhan tersebut adalah tanda penghargaan kerajaan terhadap jasa yang dicurahkan oleh para penerima pingat itu dan bagi penerima PTU serta JPP yang telah meninggal dunia, keluarga masing-masing akan menerima imbuhan sebanyak RM10,000.

Mohd Din dalam pada itu merayu kepada pihak kerajaan untuk mempertimbangkan penyelarasan semula skim pencen terbitan  kepada bekas anggota tentera yang kehilangan sebahagian anggota badan semasa bertugas berikutan jumlah pencen yang diterima mereka pada masa ini terlalu rendah.

“Kita juga minta kerajaan pertimbangkan pemberian kenaikan pencen, kerana baru-baru ini kerajaan beri kenaikan kepada mereka yang berkhidmat lebih daripada 25 tahun dan kita tidak terlibat (dalam kenaikan itu) memandangkan skim pencen dalam tentera ialah 21 tahun,” katanya.

Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia Negeri Selangor, Mohd Hanafiah Abd Manaf pula berkata pemberian imbuhan itu menandakan keprihatinan kerajaan kepada bekas pejuang yang telah berkorban nyawa untuk mempertahankan negara.

“Baguslah kerana ini dapat membantu mereka menyara diri dan keluarga mereka selepas bersara dan pemberian ini menunjukkan betapa kerajaan menghargai jasa pejuang kita yang telah berkorban untuk memartabatkan negara kita,” katanya. — Bernama

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.