Perwakilan gesa MIC tingkatkan ekonomi masyarakat India

0

PUTRAJAYA: Seorang perwakilan ke perhimpunan agung MIC menggesa pucuk pimpinan parti menubuhkan kumpulan pemikir yang akan bertanggungjawab merangka strategi untuk meningkatkan ekonomi masyarakat India.

Pengerusi MIC Bahagian Batu C. Ramanathan berkata kumpulan itu tidak sepatutnya hanya dianggotai pakar kewangan dan ekonomi daripada MIC tetapi juga pakar dari luar parti.

“Sudah masanya kita mengubah cara berfikir kita dengan usaha meningkatkan taraf ekonomi masyarakat India menjadi keutamaan kita. Ekuiti ekonomi kita hanya 1.1 peratus, ia perlu ditingkatkan kepada 3 peratus, 5 peratus atau malahan lebih tinggi.

“Jika kita boleh tingkatkan ekonomi kita, ia secara automatik dapat menyelesaikan banyak masalah berhubung pendidikan anak-anak kita, penggangguran, biasiswa, masalah sosial dan lain-lainnya,” katanya semasa membahaskan ucapan dasar Presiden MIC pada perhimpunan agung tahunan MIC kali ke-65 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini semalam.

Turut hadir pada sesi semalam ialah Presiden MIC Datuk G. Palanivel dan Timbalan Presiden Datuk Dr S. Subramaniam.

Katanya masyarakat India perlu memanfatkan peluang di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) seperti dalam industri pelancongan kerana jumlah pelancong India yang datang ke Malaysia mencatatkan peningkatan saban tahun.

Seorang lagi perwakilan S.S Ganapathy pula berkata sudah tiba masanya untuk usahawan kecil masyarakat India melakukan transformasi untuk menjadi usahawan bertaraf global.

Pengerusi MIC Cawangan Putrajaya itu berkata sebagai permulaan, mereka boleh mula mewujudkan francais dalam semua sektor yang dikenali di peringkat antarabangsa.

“Untuk mencapai hasrat ini, Presiden MIC perlu merancang pelan jangka panjang yang pertama untuk melahirkan usahawan India bertaraf global. Kalau boleh naikkan taraf ekonomi, pendidikan dan peluang pekerjaan tidak lagi jadi masalah. Ia juga boleh kurangkan jurang perbezaan antara kaum pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu, beliau turut melahirkan rasa sedih atas kekurangan kakitangan kaum India di dalam perkhidmatan kerajaan.

“Kita ada banyak jabatan kerajaan tapi tak ramai kakitangan India. Di Perbadanan Putrajaya sendiri walaupun ada 1,200 kakitangan tapi hanya dua sahaja dari kaum India. Saya amat sedih kerana walaupun peluang diberi tapi kadang-kadang disia-siakan,” katanya.

Ketika laporan ini ditulis, sesi perbahasan berjalan lancar dengan pengerusi Tan Sri S Kumaran mengawal keadaan secara tegas tetapi mesra.

Beliau mempastikan setiap perwakilan mematuhi tempoh lima minit yang diberikan dan menumpukan perhatian kepada perkara dibahaskan.

Seorang perwakilan, M. Vickneswari, dari bahagian Shah Alam, mendapat teguran keras daripada beliau bila wanita itu menggesa pucuk pimpinan MIC membentuk sebuah jawatankuasa khas bagi memilih senator dan calon MIC bagi pilihan raya akan datang. — Bernama