Pengguna, peniaga kesal pengesahan status Golden Churn ambil masa lama

2

SIBU: Pengguna dan juga peniaga di sini tertanya-tanya mengapa masa yang panjang diambil oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) bagi mengesahkan mentega Golden Churn sebagai haram bagi kegunaan umat Islam di seluruh negara.

Seorang peniaga yang ha-nya ingin dikenali sebagai Daud berkata, mengapa baru sekarang pihak yang ter- babit mengesahkan mentega Golden Churn itu sebagai haram.

“Kenapa baru sekarang pihak terbabit mengesahkan mentega ini haram. Kenapa mereka tidak peka dan memantau dari dulu lagi terutama melibatkan barangan makanan yang berlogokan halal, yang diimport dari negara luar.

“Pemantauan yang lebih rapi seharusnya dibuat oleh pihak terbabit, lebih-lebih lagi bagi barangan yang di-edar dan dijual kepada umum, terutama kepada pengguna Islam,” ujarnya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada Utusan Borneo.

Akibat masalah itu menurut Daud, siapa yang harus menanggung akibat yang berpunca daripada sikap tidak peka serta bertanggungjawab pihak yang terbabit.

Kelmarin, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman mengesahkan bahawa mentega Golden Churn adalah haram bagi umat Islam di seluruh negara, berikutan penemuan DNA babi selepas dianalisis dan disahkan oleh Jabatan Kimia Negara.

Bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan bertindak menurunkan logo halal yang ada di kedai-kedai serta tin Golden Churn dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini wujud kekeliruan dikalangan pengguna berikutan kenyataan Majlis Islam Sarawak yang mengesahkan terdapat DNA babi di dalam mentega Golden Churn, selepas menerima laporan daripada Jabatan Kimia pada 19 Julai lepas.

Bagaimanapun Selasa lepas, pengurusan Golden Churn menerusi iklan dalam akhbar tempatan menyatakan JAKIM telah melakukan ujian terperinci dan mengesahkan tidak wujud DNA babi, sekali gus menimbulkan kekeliruan kepada pengguna.