Kek lapis Sarawak ditanggung halal

0

TIDAK PERLU RAGU-RAGU: Abang Helmi (tengah) menunjukkan kenyataan akhbar DUBS yang dikeluarkan bersama PENGASAS sebagai penjelasan kepada pengguna. Turut kelihatan (dari kiri) Hanijah, Juita, Dawi, Iskandar dan Mohd Razali.

Kebanyakan pengusaha tidak guna mentega Golden Churn Creamery

KUCHING: Orang ramai serta penggemar kek lapis Sarawak sama ada dari dalam atau luar negeri tidak lagi perlu ragu-ragu dengan produk berkenaan terutama yang dikeluarkan pengusaha Bumiputera di negeri ini.

Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak Datu Abang Helmi Ikhwan berkata, ini kerana kebanyakan pengusaha Bumiputera yang terlibat dalam pengeluaran kek lapis tidak menggunakan produk mentega Golden Churn Creamery yang disahkan mengandungi DNA babi.

“Hasil tinjauan DUBS bersama Persatuan Pengilang Bumiputera Sarawak (PENGASAS) yang melawat beberapa premis perniagaan kek lapis dan roti pada 4 Ogos, mendapati kebanyakan pengusaha tidak menggunakan mentega berkenaan.

“Ini kerana dari segi komersial ia adalah mahal dan pada masa yang sama kami menasihati pelanggan yang datang ke kedai supaya bertanya kepada penjual untuk mendapatkan kesahihan,” katanya dalam sidang media yang diadakan di pejabat DUBS di sini, semalam.

Menurutnya, hanya segelintir sahaja pengusaha yang pernah menggunakan mentega Golden Churn Creamery namun telah berhenti menggunakannya.

Malahan ujar beliau, mereka telah mengambil tindakan untuk ‘menyamak’ atau membersih dari segi syariat Islam segala peralatan dan premis mereka agar tiada lagi keraguan daripada pihak pengguna.

Diminta mengulas mengenai impak kepada pengusaha kek lapis ekoran isu pengharaman penggunaan mentega berkenaan, Abang Helmi berkata pihaknya masih belum dapat mengesahkan jumlah sebenar.

“Kami cuma boleh menentukan perkara itu selepas hari raya kerana kami perlu lihat tempahan semasa perayaan,” tegasnya sambil menambah yang pasti kini DUBS dan PENGASAS cuma ingin memastikan keraguan di kalangan pelanggan tidak lagi wujud.

“Memandangkan masa kini agak singkat, perkara terbaik adalah kami  menyebarkan ia melalui media agar isu ini dapat mengurangkan rasa waswas di kalangan orang ramai,” katanya.

Beliau memberitahu bahawa kebanyakan daripada ahli DUBS yang terlibat dalam perniagaan makanan telah menerima sijil halal masing-masing.

Sementara itu Pengerusi PENGASAS Dawi Abdul Rahman memberi jaminan bahawa semua ahli persatuan sememangnya tidak menggunakan jenama mentega berkenaan kerana harganya yang terlalu tinggi.

“Disebabkan itu kami memang tidak pernah menggunakannya tetapi menggunakan produk mentega dari Malaysia sahaja,” tegasnya.

Beliau memberitahu bahawa PENGASAS kini mempunyai kira-kira 34 ahli di seluruh negeri dan 13 daripadanya pengeluar roti yang mempunyai sijil halal.

Dawi berkata, pengusaha roti dan biskut yang terlibat dalam perkhidmatan pembekalan makanan tersebut ke sekolah serta pejabat kerajaan juga tidak menggunakan bahan terbabit.

Hadir sama Bendahari Agung DUBS Iskandar Razali, Setiausaha Kehormat PENGASAS Mohd Marzuki Mohd Omar, Ketua Dewanita DUBS Juita Drap dan Setiausaha Dewanita DUBS Hanijah Bujang.