Dua buruh asing maut terhidu gas beracun

0

Kawasan pembinaan tempat dua buruh asing yang ditemui mati akibat sesak nafas dipercayai selepas terhidu gas beracun.

KOTA KINABALU: Dua pekerja binaan warga asing maut dipercayai akibat sesak nafas selepas terhidu gas beracun di salah sebuah tapak pembinaan di Jalan Sulaman dekat sini kelmarin.

Dipercayai kejadian itu berlaku kira-kira jam 9 pagi di mana salah seorang daripada mangsa dikatakan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi di hospital.

Ketua Polis Bandaraya, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria ketika dihubungi kelmarin mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

“Kedua-dua mangsa itu merupakan lelaki warga asing yang berumur lingkungan 30an dan mayat mereka telah dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, sekumpulan wartawan yang cuba memasuki kawasan pembinaan berkenaan untuk mengambil gambar telah dihalang oleh pengawal keselamatan di kawasan itu.

Ketika diminta mengulas mengenai kejadian itu, ketua keselamatan terbabit hanya berkata dia tidak boleh memberi sebarang kenyataan buat masa sekarang.