Wednesday, April 14

Dua pemain boling terima geran SportExcel

0

TERIMA GERAN: Tiong (dua kiri) dan Ellysha bersama-sama yang lain bergambar dengan Tunku Imran (tengah) di Kuala Lumpur.

KUCHING: Dua bintang muda boling Sarawak, Christopher Tiong Lee Siong dan Ellysha Syafeena Rohaili masing-masing menerima geran daripada SportExcel.

Geran itu disampaikan oleh Pengerusi SportExcel, Tunku Tan Sri Imran Ibni Al-Marhum Tuanku Ja’afar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dua atlet muda berasal dari Sibu dan Kuching itu merupakan enam atlet junior bagi pembangunan sukan boling negara.

Tiong, 14, dan Ellysha, 13, masing-masing menerima geran daripada SportExcel Kuala Lumpur berjumlah RM1,500.

Naib Presiden Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS), Robert Lu berkata geran SportExcel itu merupakan pengiktirafan kepada kedua-dua atlet boling muda Sarawak itu yang telah membuktikan kecemerlangan mereka.

“Kedua-dua atlet telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam kejohanan SportsExcel-NSC-Milo-MTBC sirkit remaja peringkat Sarawak dan Sabah,” katanya.

Robert menarik perhatian geran itu bukan pertama kalinya diberikan kepada atlet boling muda Sarawak kerana sebelum ini beberapa atlet seperti Muhd Syafiq dan Jacqueline Jenelee Sijore pernah menerimanya.

Tiong merupakan pemenang bagi kejohanan boling kebangsaan, Piala Peter Yap Memorial Astro edisi ke-24 di Kuala Lumpur, Mac lalu.

Selain Tiong dan Ellysha, empat atlet lain yang turut menerima geran terbabit ialah Faten Najiha Ahmad Faik (Pahang), Muhammad Aqil Izamuddin dan Aida Munirah Mohd Razif (Kuala Lumpur) dan Tun Ameerul Luqman Al Hakim (Perak).

SportExcel juga menyampaikan geran yang sama kepada 39 penerima dari lapan sukan lain seperti golf, basikal, skuasy, renang, gimrama, tenis dan kriket.