Kecederaan dorong Capello timbang skuad ‘masa depan’

0

TOM CLEVERLEY: Pemain muda Manchester United.

LONDON, England: Fabio Capello terpaksa menurunkan skuad bayangan masa depan England apabila Belanda bertandang ke Wembley untuk satu perlawanan persahabatan antarabangsa hari ini (Rabu) selepas kecederaan melanda beberapa pemain utama.

Capello merancang untuk menurunkan skuad terkuat menentang Belanda sebagai persiapan untuk dua perlawanan kelayakan penting Euro 2012 menentang Bulgaria dan Wales pada bulan hadapan.

Tetapi sebaliknya beliau terpaksa menurunkan gandingan bintang senior dan pemain muda yang dijangka akan mampu mencapai potensi mereka selepas beliau menamatkan tugas sebagai jurulatih setelah Euro 2012.

Dengan Steven Gerrard dan Theo Walcott sudah tidak dapat disenaraikan kerana kecederaan dan Jack Wilshere serta Michael Carrick menarik diri kerana kecederaan Isnin lepas, Capello sudah kekurangan pilihan di barisan tengah.

Capello juga mempunyai masalah kecederaan di barisan serangan. Darren Bent tidak dapat dipanggil kerana masalah bahu dan Peter Crouch serta Danny Welbeck mempunyai mengalami kecederaan ringan.

Masalah lain adalah di posisi pertahanan kanan dengan Glen Johnson tidak dapat bermain selepas cedera semasa perlawanan persahabatan melibatkan kelabnya, Liverpool menentang Valencia.

Kecederaan Wilshere paling mengecewakan Capello kerana beliau percaya pemain muda kelab Arsenal itu sudah bermain dengan cukup matang untuk memberikan kreativiti di bahagian tengah.

Dengan ketiadaan Wilshere, Capello memanggil pemain muda Manchester United, Tom Cleverley, selepas pemain terbabit mempamerkan aksi memberangsangkan dalam separuh masa kedua perlawanan Perisai Komuniti ketika menewaskan Manchester City Ahad lepas.

Cleverley menghabiskan tiga musim terakhir bermain secara pinjaman di Leicester, Watford dan Wigan tetapi pengurus United, Sir Alex Ferguson mempunyai harapan yang tinggi untuk seorang pemain yang mempunyai ciri-ciri bekas bintang tengah, Paul Scholes.

Capello mungkin mahu melihat pemain itu dengan lebih dekat hari ini, yang akan melengkapkan satu minggu yang hebat buat Cleverly ketika beliau bersedia untuk meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-22 Jumaat ini.

Seperti biasa, prestasi dan kecergasan Wayne Rooney adalah faktor penting untuk menentukan sama ada England layak ke Euro 2012 dan kemudian membuat aksi cemerlang pada kejohanan di Poland dan Ukraine itu.

Capello pastinya lega dengan prestasi memberangsangkan Rooney ketika menentang City Ahad lepas tetapi beliau juga memerlukan rakan penyerang yang boleh menghasilkan aksi terbaik beliau.

Dengan begitu ramai pemain penyerang yang cedera, penyerang Liverpool, Andy Carroll dijangka akan diberikan satu lagi peluang untuk meletakkan dirinya sebagai pilihan Capello.

Penyerang berusia 22 tahun itu masih belum meyakinkan semua orang di Liverpool di mana beliau boleh mencapai statusnya sebagai pemain bernilai 35 juta pound tetapi Capello mengesahkan bahawa beliau adalah peminat kualiti Carroll.

Capello juga gembira dengan prestasi pemain pertahanan Tottenham Hotspur, Kyle Walker, yang dipinjamkan di Aston Villa musim lepas dan dengan kecederaan Johnson, Capello mahu memberikan peluang kepada pemain berusia 21 tahun itu untuk mengisi posisi yang dianggap paling bermasalah buat England sejak beberapa tahun.

Perlawanan hari ini meraikan permulaan musim terakhir Capello sebagai jurulatih England dan beliau baru-baru ini mengakui bahawa beliau sememangnya mahu menamatkan tugas dengan memenangi Euro 2012, dalam usaha untuk memadam kempen buruk Piala Dunia 2010.

Untuk melakukannya, England – yang mendahului kumpulan kelayakan di hadapan Montenegro dengan perbezaan gol – harus meningkat dengan mendadak dalam tempoh sembilan bulan akan datang. — AFP