Pemanah S’wak berentap di Miri

0

MIRI: Miri akan menjadi medan pertarungan bagi atlet-atlet memanah seluruh Sarawak pada Kejohanan Memanah Sarawak ke-16 yang bakal berlangsung pada 16-21 September depan.

Kesemua acara kejohanan anjuran bersama Persatuan Memanah Sarawak (Pemasa) dan juga Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) ini dijangka akan berlangsung di Stadium Miri, di sini.

Menurut kenyataan yang difakskan ke pejabat Utusan Borneo Miri semalam, terdapat pelbagai kategori yang dipertandingkan dan ia turut terbahagi kepada penyertaan individu dan juga berkumpulan.

Dalam pada itu, penyertaan pada tahun ini dijangkakan melebihi jumlah peserta tahun sebelumnya yang diadakan di Kuching.

Borang penyertaan untuk semua kategori hendaklah diserahkan kepada pihak penganjur sebelum atau pada 2 September.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Chong Yap Lee (016-8118866) atau Chong Yap Jin (085-285258/013-8035630).