Percepat siasatan ceroboh tanah: Milin

0

MILIN

SIBU: Seorang lelaki yang mendakwa tanahnya diceroboh merayu agar siasatan berhubung perkara itu dipercepatkan.

Milin Sendar, 47, ketika ditemui semalam berkata, hampir lapan bulan telah berlalu, namun beliau masih belum dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan berhubung siasatan tersebut.

“Sebelum ini, saya telah beberapa kali bertanyakan hal demikian… namun saya hanya diberitahu siasatan masih dilakukan,” katanya.

Menurut Milin, beliau juga pernah diminta merujuk perkara tersebut kepada pihak atasan yang bertanggungjawab mengendalikan kes berkenaan di Kuching.

Pun begitu, katanya, beliau tidak dapat berbuat demikian kerana kekangan masa dan faktor-faktor lain.

Menurutnya lagi, kejadian pencerobohan tersebut telah pun dimaklumkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berdasarkan laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Balingian, Milin mendakwa tanah miliknya yang berkeluasan kira-kira 21 ekar di Sungai Buloh telah diceroboh oleh sebuah syarikat swasta bagi tujuan membangunkan ladang kelapa sawit.

Katanya, beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang projek pembangunan ladang kelapa sawit di tanah miliknya itu.

Tambah Milin, beliau juga ada mengadakan perbincangan dengan pihak syarikat berkenaan berhubung pampasan yang harus dibayar kepadanya, namun menemui jalan buntu.

Ini kerana, ujarnya, syarikat tersebut mendakwa tanahnya itu adalah hak milik kerajaan.

Jelas Milin, beliau mempunyai bukti dan dokumen lengkap untuk mengetepikan dakwaan bahawa tanah miliknya itu adalah tanah hak milik kerajaan.

Justeru, Milin berharap, siasatan berhubung insiden berkenaan dipercepatkan.