Sikap masyarakat punca sampah-sarap di tapak pengutipan sampah menjijikkan

0

MENJIJIKKAN: Beginilah keadaan sampah-sarap di sebuah tapak pengutipan sampah di Jalan Kwong Ming/Minah Sarikei yang boleh memberi pelbagai implikasi negatif kepada semua pihak.

SARIKEI: Busuk, jijik, berulat, bertaburan di merata-rata tempat dan pemandangan yang merimaskan, begitulah keadaan yang dapat digambarkan di sebuah tapak pengutipan sampah di Jalan Kwong Ming/Minah iaitu kira 12 kilometer dari pusat bandar Sarikei.

Situasi yang kotor itu jelas kelihatan apabila sampah bertaburan di merata-rata tempat, ditambah lagi dengan kehadiran beberapa ekor anjing liar yang berkeliaran sambil mengonggong beg dan plastik sampah.

Dalam hal yang sedemikian siapakah yang harus dipersalahkan, pihak berkuasa tempatan, pihak kontraktor yang menlakukan kerja pengutipan atau masyarakat itu sendiri?

Tinjauan pemberita ke lokasi terbabit semalam, hasil dari maklumat yang disampaikan oleh orang awam mendapati keadaan tempat pengutipan sampah di kawasan terbabit memang tidak terurus.

Hasil pemantauan ke lokasi yang dimaksudkan mendapati beberapa situasi yang berlaku di tapak pengutipan tersebut.

Pertama ialah, tempat atau tong untuk membuang sampah itu kosong tetapi sampah-sarap di sekelilingnya bertaburan dan jelas menampakkan ia lama tidak dikutip.

Situasi yang kedua pula, kelihatan ada segelintir masyarakat menggunakan tapak itu sebagai tempat untuk membuang bangkai-bangkai binatang seperti bangkai kucing, ayam dan sebagainya.

Manakala situasi yang ketiga pula, terdapat beberapa kanak-kanak kelihatan menyelongkar sampah-sarap sama ada yang di dalam tong sampah, di dalam plastik sampah atau sampah yang telah diletakkan di sekitar tong sampah yang telah dibuang ke tempat terbabit untuk mencari bahan buangan seperti tin aluminium, besi buruk dan barangan lain yang boleh dijual.

Pada masa yang sama pemberita sempat menemu bual beberapa orang penduduk yang tinggal berhampiran dengan lokasi terbabit dan turut menyuarakan rasa tidak puas hati dan berharap masalah itu dapat diselesaikan dengan segera.

Seorang penduduk yang tinggal beberapa meter dari lokasi terbabit dan hanya mahu dikenali sebagai Ah Yong berkata, situasi yang lebih buruk berlaku apabila hujan turun, di mana aliran air sampah yang busuk itu mengalir dan mengeluarkan bau yang kurang enak dihidu.

“Apabila hujan turun air pekat hitam dengan bau busuknya akan memenuhi udara sekitar tempat terbabit, apatah lagi jika ada masyarakat yang membuang bangkai binatang di tempat itu.

“Sebenarnya kebanyakan sampah-sarap yang dibuang itu bukan sampah-sarap penduduk di kawasan ini sahaja tetapi ia turut melibatkan sampah dari kawasan luar.

“Malah ada segelintir pembuang sampah itu mengambil jalan mudah dengan hanya melontar atau membuang sampah di tepi tong dan bukannya ke dalam tong yang telah disediakan.

“Sikap ini yang menjadikan sampah-sarap tersebut bertaburan dan menjadikannya lebih teruk lagi apabila pihak yang mengutip sampah itu hanya mengangkat sampah yang berada di dalam tong tetapi di luar tong, terus dibiarkan begitu sahaja,” ujar Ah Yong dengan nada kesal.

Sementara itu Wong yang turut tinggal berhampiran lokasi turut menyuarakan rasa kurang senang dengan keadaan yang sama.

“Sejak kebelakangan ini nyamuk, lalat dan tikus pula banyak berkeliaran dan keadaan ini menyebabkan kami terpaksa menutup pintu dan tingkap sepanjang masa kerana jika ia dibiarkan ternganga sudah pasti segala jenis binatang ini akan memenuhi ruang bilik.

“Apa yang lebih merisaukan lagi bagi kami selaku penduduk di sini ialah keadaan tersebut telah mendedah kami dengan risiko jangkitan penyakit serta masalah kesihatan yang lain.

“Satu lagi perkara yang turut membimbangkan pihak kami ialah air sisa pembuangan sampah itu turut mengalir ke Sungai Bulat yang terletak hanya beberapa meter dari tempat terbabit dan keadaan itu sudah pasti akan memberi kesan yang negatif kepada sungai terbabit,” katanya.

Tambahnya, terdapat segelintir pihak turut mengambil jalan mudah dengan membuang sampah-sarap ke sungai terbabit.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N39 Repok Dr Wong Hua Seh dalam kenyataannya yang difakskan kepada pejabat Utusan Borneo, turut memohon kerjasama masyarakat untuk mengatasi masalah berkenaan.

Pada kenyataannya beliau menyeru penduduk agar tidak membuang bangkai binatang ke tapak pengutipan sampah sesuka hati tetapi menanamnya.

Beliau turut menyarankan penduduk agar membuang sampah dengan cara yang betul iaitu memasukkan sampah ke dalam beg plastik atau karung yang sesuai, sebelum memasukkannya ke dalam tong sampah yang telah disediakan.

Pada masa yang sama beliau turut memohon pihak yang dipertanggungjawabkan melaksanakan tugas pengutipan sampah agar menjalankannya mengikut standard kerja dan tempoh yang telah ditetapkan dalam perjanjian kerja.