Halang budaya kahwin kaum sejenis sebelum terlambat

0

Jika tidak ditegah awal ia mengundang budaya sosial negatif

MIRI: Perkahwinan pas­angan sejenis di negara ini perlu ditolak sekeras-kerasnya bahkan ia akan mengundang pelbagai lagi budaya songsang lain yang diambil dari budaya barat, jika tiada usaha awal un­tuk menanganinya.

Aktivis sosial di negeri ini, Wan Zain Syed Moh­dzar berkata hasrat seorang pastor gay warganegara Malaysia, Pastor Ou Yang Wen Feng untuk berkah­win dengan ‘kekasihnya’ di negara ini perlu dihalang sebelum terlambat.

“Jika perkara sedemikian berlaku, maka lebih ramai lagi pasangan sejenis akan tampil untuk berkahwin dengan pasangan masing-masing bahkan ia akan menjadi budaya jika tidak dibendung lebih awal,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, bukan agama Islam sahaja yang meng­haramkan perkahwinan pasangan sejenis, tetapi juga agama lain yang turut mengecam perkahwinan sedemikian yang akan hanya menjejaskan imej negara.

“Perkahwinan pasan­gan sejenis bagi minori­ti gay atau lesbian akan menyebabkan keruntuhan akhlak di kalangan rakyat di negara ini yang mudah terdedah dengan budaya barat,” jelasnya.

Wan Zain turut mela­hirkan kebimbangan jika perkahwinan itu mendapat kelulusan, maka budaya songsang itu akan mudah merebak atau meresapi go­longan muda terutamanya pelajar.

Dalam laporan akhbar na­sional kelmarin, Wen Feng, membuat pengakuan ter­buka dan hasratnya untuk melangsungkan perkah­winan dengan ‘kekasih­nya’ seorang lelaki warga Afrika-Amerika.

Perkahwinan itu katanya akan berlangsung pada hujung bulan ini atau awal bulan depan dengan majlis itu bakal diadakan di New York, Amerika Syarikat dan juga di negara ini.

Mengulas lanjut, Wan Zain menjelaskan perkah­winan sejenis adalah bert­entangan dari segi moral serta budaya dan tidak seharusnya diterima di negara ini.

“Kita berharap perkah­winan ini dibatalkan serta-merta kerana Malaysia tidak mengiktiraf perkah­winan sejenis. Jika ia masih berlaku, kita bimbang budaya ini akan terus ber­tapak kukuh di negara ini,” jelasnya.

Menurutnya, kerajaan perlu campur tangan dan menghalang perkahwinan ini bagi memastikan bu­daya songsang seperti ini tidak merebak di kalan­gan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama.