Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Masalah Kekurangan Simen Akan Segera Diatasi

Masalah Kekurangan Simen Akan Segera Diatasi

Posted on August 15, 2011, Monday

SUMBANGAN... Yahya menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim sempena majlis berbuka puasa itu.

KOTA KINABALU: Masalah kekurangan bekalan simen di negeri ini akan diatasi selewat-lewatnya minggu depan selepas Cement Industries Sabah (CIS) Sdn Bhd menerima penghantaran 35,000 tan metrik bahan berkenaan.

Pengurus Besarnya, Kenny Yong Haw berkata penerimaan bekalan dari Semenanjung itu akan dapat mengatasi masalah kekurangan kira-kira 25,000 tan metrik simen pada masa ini.

“Antara punca masalah kekurangan bekalan simen adalah akibat keadaan cuaca yang menyebabkan penghantaran bahan itu terlambat sampai.

“Jadi dengan tindakan ini kami berharap bekalan simen akan kembali normal dan semua pengguna akan mendapat bekalan yang mencukupi,” katanya ketika ditemui  selepas Majlis Berbuka Puasa CIS bersama anak-anak yatim di sini pada Sabtu.

Menurut Yong, pada masa ini CIS mampu mengeluarkan sehingga 70,000 tan metrik simen sebulan berbanding jumlah permintaan antara 120 hingga 130 tan metrik sebulan.

“Jadi bagi memenuhi bekalan kita mengimport bakinya daripada Semenanjung Malaysia atau dari negara-negara lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata CIS tidak mengamalkan dasar monopoli dalam perniagaan simen seperti yang didakwa oleh mana-mana pihak.

Pihaknya tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk membeli bekalan simen daripada pihak lain di negeri ini atau dari Semenanjung.

“Malah mana-mana syarikat yang mahu mengusahakan industri ini juga boleh memohon lesen kepada pihak berkenaan dan kita tiada halangan,” tambahnya.

Sementara itu,  seramai 107 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Al-Aman, Beaufort dan Rumah Anak Yatim Darul Bakti, Kota Belud diraikan dalam majlis berbuka puasa itu.

Pengerusi CIS, Datuk Yahya Lampong telah menyampaikan sumbangan kepada para pelajar selepas majlis berbuka puasa yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Hashim Paijan, Pengurus Besar Sedco, Maisuri Besri, dan kenamaan lain.

Print Friendly

Advertisement

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.