Home - Utusan Borneo - Berita Sabah - Pembayaran imbuhan oleh kerajaan disambut baik

Pembayaran imbuhan oleh kerajaan disambut baik

by Steven Y.S Lim, Tambunan. Posted on August 15, 2011, Monday

TAMBUNAN: Kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, bahawa Kerajaan Negeri akan membayar Imbuhan Tahunan dan Bayaran Khas Prestasi kepada penjawat awam di negeri Sabah sebelum Hari Raya Aidilfitri mendapat sambutan baik.

Ahli Majlis Tertinggi Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Sabah, Adun Mantigi menyifatkan kenyataan itu sebagai langkah positif bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan penjawat awam dalam pembangunan negeri khasnya dan negara amnya.

“Keputusan itu menunjukkan bahawa kerajaan mengambil perhatian serius dan prihatin terhadap kebajikan penjawat awam, dan berharap mereka akan lebih komited menjalankan tugas serta peka kepada masalah rakyat,” katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya pesara kerajaan negeri juga akan dipertimbangkan untuk bonus berkenaan atas jasa mereka kepada negeri Sabah sebelum ini.

Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran), Salehuddin Tahir mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Menteri atas usaha meperjuangkan penjawat awam negeri untuk menikmati bonus raya seperti rakan sekerja di pejabat persekutuan.

“Sumbangan itu secara tidak langsung akan meningkatkan lagi komitmen dan kualiti penyampaian khidmat penjawat awam kepada rakyat.

“Kita berharap sumbangan kerajaan negeri seperti itu akan digunakan sebaik-baiknya bagi keperluan keluarga agar hasrat kerajaan itu tidak sia-sia,” katanya.

Sementara Pemaju Mukim Kerokot, Pejabat Unit Pembangunan Kemajuan Rakyat, Shiddeq Kuntagil meluahkan rasa syukur di atas pemberian itu.

“Keputusan kerajaan untuk membantu penjawat awam terutama yang bergaji tidak melebihi RM1,000 memang baik kerana ia dapat meringankan perbelanjaan untuk menyambut Syawal,” katanya.

Beliau juga berharap supaya para peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang keperluan sewenang-wenangnya berikutan pemberian imbuhan berkenaan.

Rose Mangala, seorang staf Unit Rekod Pejabat Daerah, menyifatkan berita itu satu rahmat  yang harus disyukuri dan diterima dengan tekad dan azam untuk terus menyokong kerajaan yang begitu prihatin terhadap kebajikan mereka.

Beliau turut mencadangkan agar bonus seumpama ini diberikan pada satu kadar yang sama tanpa mengikut pokok gaji.

“Saya juga mencadangkan agar pemberian seumpama ini dapat dipertimbangkan bagi perayaan rakyat yang besar seperti Krismas, Tahun Baru Cina dan Deepavali,” tambahnya.

Print Friendly

Advertisement

To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.

Comments are closed.