Berikan perhatian dan sumbangan menyeluruh

0

Golongan kurang bernasib baik di kampung harus mendapat pembelaan sewajarnya: Wan Junaidi

KUCHING: Golongan ku-rang bernasib baik khasnya di kawasan kampung harus menerima perhatian sewajarnya seperti mereka yang berada di institusi-institusi kebajikan.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu, melihat golongan tersebut khususnya di kampung-kampung yang kurang mendapat bantuan merupakan sesuatu yang sangat menyedihkan.

“Anak-anak kurang upaya, anak-anak miskin dan anak-anak yatim di kampung-kampung yang mungkin tidak dapat dilihat atau ter-lepas pandang oleh pihak kerajaan dan sebab itulah kita patut memberi tumpuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan kepada 120 orang yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) di Surau Darul Salam di Kampung Tabuan Lot, Jalan Tabuan Melayu, di sini kelmarin.

Hadir sama, isterinya Datin Feona Junaidi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Hipni.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong memberitahu, lawatan siri kelima di kawasannya itu bertujuan untuk menyampaikan sedikit bantuan dalam bentuk kewangan secara terus kepada golongan sasaran.

Menurut beliau, penyam-paian sumbangan yang terus ke kampung itu lebih bermakna daripada penganju-ran majlis di tempat-tempat tertentu, umpamanya di hotel seperti mana yang dianjurkan pada tahun-tahun sebelum ini.

Beliau turut berharap amalan itu dapat diteruskan untuk tahun-tahun akan datang kerana ia dapat merangkumi lebih banyak warga OKU, anak yatim dan warga emas yang tidak berpeluang bersama beliau sebelum ini.

“Pada tahun ini, ia lebih bermakna kerana di samping boleh datang ke kampung, berjemaah dan berbuka puasa bersama, saya boleh berjumpa anak-anak ini yang mungkin tidak dapat dibawa (atas masalah kesihatan) ke hotel atau tempat-tempat perjumpaan tertentu se-perti mana yang dibuat pada tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Majlis menyaksikan pe-nyampaian sumbangan kepada 120 penerima yang terdiri daripada 30 OKU, 30 ibu tunggal, 30 anak yatim dan 30 warga emas.

Sementara itu, Madiah Yunus, 44, yang merupakan ibu kepada penerima Habsah Sariff Mida memberitahu, sumbangan itu dapat meringankan beban keluarganya dalam menghadapi perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

Anaknya yang kini berusia 15 tahun mengalami penyakit lemah saraf atau sawan setelah menghadapi demam panas ketika berumur satu tahun dua bulan, tidak dapat berjalan terpaksa bergantung kepada kerusi roda atau didukung.

Katanya, mereka menerima kerusi roda secara percuma dan elaun bulanan sebanyak RM70 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Bagaimanapun, dengan pendapatan suaminya yang bekerja sebagai buruh kasar sebanyak RM400 sebulan, tambahnya, elaun itu tidak memadai kerana perbelanjaan untuk Habsah sebulan melebihi RM100 kerana perlu membeli lampin pakai buang, susu, ubat dan sebagainya.

“Dengan sumbangan yang diberi ini, ringanlah sedikit bebanan kami… wang ini mungkin digunakan untuk membeli pakaian raya untuk Habsah,” katanya.