Kibar Jalur Gemilang kian dingin

0

Tunjukkan patriotisme, jangan malu serlah rasa cintakan negara

ALFIZAH

SITI ROHANI

KUCHING: Bulan Kemerdekaan merupakan tempoh sesuai untuk rakyat Malaysia menunjukkan semangat cintakan negara menerusi pengibaran Jalur Gemilang.

Semangat patriotik, merupakan semangat yang ditanam dalam diri individu yang kekal hingga ke hujung hayat pasti tidak akan mudah luntur begitu sahaja.

Pengibaran Jalur Gemilang pula, sudah tentu mampu menyemarakkan lagi semangat tersebut dalam diri masyarakat.

Jadi tidak salahlah sekiranya rakyat Malaysia menunjukkan patriotisme yang tertanam dalam diri mereka selama 31 hari sahaja dalam setahun.

Setiap kali menjelang Bulan Kemerdekaan, kerajaan akan mengajak segenap lapisan masyarakat mengibarkan bendera Malaysia.

Malangnya, sambutan yang diterima tahun demi tahun semakin dingin.

Bendera melambangkan kedaulatan sesebuah negara dan sebab itulah rakyat sanggup berkorban nyawa untuk mempertahankan bendera negara mereka.

Mungkinkan masyarakat sedar tentang kepentingan semangat patriotik semakin berkurangan atau malu diketahui orang lain bahawa mereka cintakan negara kerana terlalu mengagungkan ideologi barat?

Menurut Siti Rohani Ujang, 62, masyarakat tidak harus malu mengibar atau menggantung Jalur Gemilang, malah sepatutnya menjadi satu kebanggaan kerana negara kita aman dan makmur, tidak seperti negara lain yang mencemburui keamanan yang kita ada.

Namun, beliau yakin walaupun sambutan terhadap pengibaran Jalur Gemilang dingin, namun semangat patriotik masih ada di hati rakyat Malaysia tidak pernah luntur.

Golongan ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam menyemai semangat patriotisme dan menjadi contoh kepada anak mereka.

“Tugas menggantung bendera di hujung rumah bukan sesuatu yang sukar dilakukan.

“Justeru, gantunglah Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga kerana mencerminkan kebanggaan anda menjadi rakyat Malaysia sejati,” katanya yang berasal dari Kampung Malaysia Jaya.

Sementara itu, Alfizah Alli, 24, dari Taman Sukma memberitahu, kata-kata ‘Usahlah disoal apakah sumbangan negara kepada kamu, sebaliknya tanyalah, apakah sumbangan kamu kepada negara?’ amat bertepatan dengan situasi masyarakat yang semakin malas menunjukkan tanda cintakan negara.

Katanya, masyarakat sekarang tidak perlu berkorban nyawa lagi kerana negara telah pun mencapai status kemerdekaan.

“Untuk itu, wajarlah sekali setahun ia ditunjukkan menerusi semangat mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.

Menurut gadis berusia 24 tahun itu, sekiranya masyarakat dapat berdiri tegak apabila lagu Negaraku dinyanyikan sebagai tanda hormat, bukankah perkara yang serupa juga perlu ditunjukkan pada Bulan Kemerdekaan iaitu menerusi pengibaran bendera.

“Pengibaran bendera pada Bulan Kemerdekaan adalah tanda kita menghormati dan mencintai negara. Ia merupakan tindakan yang lahir daripada semangat patriotik dalam diri masyarakat,” katanya.