Program imarah Ramadan kukuh perpaduan: Morshidi

0

IMARAH RAMADAN: Morshidi (tengah) bersama-sama hadirin pada majlis imarah Ramadan di Kota Samarahan, malam kelmarin.

KOTA SAMARAHAN: Program imarah bulan Ramadan merupakan landasan terbaik bagi mengukuhkan perpaduan ummah dapat bermesra dalam menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Morshidi Ghani berkata, di samping menyertai pelbagai program bulan Ramadan ini, masyarakat juga dapat melakukan amal ibadat mereka.

“Saya cukup gembira dapat bersama-sama penduduk di sini dalam satu majlis mengimarahkan bulan Ramadan,” katanya ditemui selepas menghadiri majlis berbuka puasa serta solat berjemaah maghrib, isyak dan tarawih di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini malam kelmarin.

Menurut Morshidi, selain mengimarahkan bulan Ramadan masyarakat juga dapat menunaikan tanggungjawab mereka dengan bersedekah dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Beliau berkata, amalan mengimarahkan bulan Ramadan adalah mulia kerana kita dapat berjemaah bersama-sama serta menjalani ibadah bersedekah.

“Ini merupakan acara tahunan yang kami anjurkan seluruh negeri bagi mengukuhkan perpaduan di kalangan kakitangan kerajaan dan juga penduduk kampung-kampung yang terlibat,” katanya.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha, Residen Bahagian Samarahan Rodziah Morshidi, Pegawai Daerah Samarahan Mohd Aini Wahab serta ketua-ketua jabatan.

Morshidi menarik perhatian, majlis berbuka puasa dan sembahyang berjemaah itu merupakan sebahagian daripada amalan mulia yang perlu dilakukan oleh masyarakat.

“Saya amat bangga kerana dapat meraikan majlis ini serentak dengan penyampaian sumbangan untuk mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 50 orang penduduk yang kurang berkemampuan dari Kampung Muara Tuang dan Tanjung Bundong menerima sumbangan duit raya yang disampaikan oleh Morshidi.

Pihak penganjur majlis terbabit juga melakukan kejutan dengan acara memotong kek sempena meraikan hari ulang tahun ke-55 Morshidi yang jatuhnya pada 11 Ogos lalu.