250,000 tanah NCR disasar diukur hujung tahun, kata Awang Tengah

0

SAMARAHAN: Kerajaan menyasar untuk menyukat secara ukur keliling 250,000 hektar Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di seluruh negeri Sarawak pada penghujung tahun ini.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata untuk tahun ini sahaja kerajaan pusat telah memperuntukkan RM30 juta bagi tujuan itu.

Beliau memberitahu bagi tahun ini kementeriannya telah meluluskan lebih 100 kawasan tanah NCR dengan keluasan tanah lebih 200,000 hektar untuk disukat secara ukur keliling.

“Tahun lepas kita telah pun mendapat peruntukan RM20 juta dan telah dapat menyukat 28 kawasan melibatkan beberapa ribu hektar tanah NCR.

“Kalau kita kumpul tahun lepas dan tahun ini, sasaran kita ialah menyukat secara ukur keliling tanah tidak kurang daripada 250,000 hektar. Itu sasaran kita untuk hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian cek pampasan dan penyerahan warta guna sama Bumiputera di Dewan Suarah, Samarahan semalam.

Awang Tengah yang juga Menteri Kemudahan Awam berkata semua usaha itu menunjukkan kerajaan benar-benar komited mempertahankan hak dan kepentingan masyarakat Bumiputera lebih-lebih lagi berhubung kait dengan NCR.

Menurutnya kerja-kerja menyukat ukur keliling tanah NCR adalah usaha berterusan kerana ia mengambil masa lama untuk disiapkan memandangkan tanah-tanah NCR berselerak serta ada yang terletak jauh di pedalaman.

Beliau menambah usaha itu bertambah lambat jika rakyat dengan mudah termakan hasutan pembangkang kononnya selepas diwartakan tanah-tanah terbabit akan dipindah milik dan diserahkan kepada syarikat swasta untuk dimajukan.

“Memang ada cabaran melakukan kerja-kerja ini lebih-lebih lagi yang masuk hasutan inilah, serba-serbinya dikaitkan dengan kepentingan politik pembangkang,” katanya.

Sementara itu pada majlis berkenaan seramai 86 penerima pampasan untuk pengambilan balik tanah bagi projek naik taraf Jalan Mambong/Sejingkat Fasa 4 membabitkan tanah seluas 10.96 hektar dengan jumlah keseluruhan RM3.7 juta.

Manakala 14 buah kampung di kawasan Muara Tuang mendapat warta guna sama Bumiputera masing-masing dengan keseluruhan keluasan 673.637 hektar.