Elak kekeliruan terhadap kehendak Al-Quran

0

Umat Islam perlu lebih menghayati Al-Quran untuk elak tafsiran yang sempit dan kemunduran: Daud

KUCHING: Umat Islam perlu menghayati Al-Quran untuk mengelakkan kekeliruan yang disebabkan oleh tafsiran yang sempit yang kemudiannya akan menye-babkan kemunduran.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata terdapat kekeliruan di kalangan umat Islam dalam memahami kehendak Al-Quran.

Menurut beliau ada di kalangan umat Islam yang hanya mementingkan perkara yang berhubung ibadat fardhu’ain sahaja tanpa memberi penekanan kepada bidang ibadat fardu kifayah yang mempunyai kesan terhadap seluruh masyarakat.

“Kerana kekeliruan yang disebabkan oleh tafsiran yang sempit ini, mereka sering melihat apa yang dibuat oleh kerajaan sebagai tidak ber-unsur Islam dan tidak selaras dengan kehendak Al-Quran.

“Perkara inilah yang akan menyebabkan kemunduran orang Islam sehingga mereka miskin dalam segala-galanya dan tidak dapat mempertahankan diri tanpa senjata atau bantuan daripada punca yang bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penangguhan Seminar Nuzul Al-Quran Peringkat negeri, di Auditorium Pustaka Negeri, di sini semalam.

Justeru untuk mengelakkan perkara tersebut, Daud memberitahu, kerajaan kini sedang berusaha untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai isi kandungan Al-Quran melalui berbagai-bagai institusi.

“Al-Quran bukan sahaja diturunkan untuk dibaca dan dihafaz, tetapi isinya mestilah difahami dan dihayati.

“Disebabkan itu universiti dan pusat-pusat pegajian asas sehinggalah ke peringkat tinggi di negara ini sedang mengambil langkah dan menggunakan beberapa pendekatan bagi memudahkan ajaran Al-Quran dihayati oleh seluruh masyarakat,” katanya.

Di samping itu menurut beliau, Al-Quran juga memiliki segala ilmu tetapi ia tidak akan dapat didalami dengan hanya membaca dan memahami isi kandungannya.

“Kajian dalam bidang sains dan penemuan-penemuan daripadanya bukan sahaja telah membuktikan bahawa ajaran Al-Quran adalah benar, tetapi juga telah menghasilkan manfaat yang besar untuk digunakan oleh umat Islam khususnya dan masyarakat dunia amnya.

“Oleh itu, jika kita menerima dan mematuhi ajaran Al-Quran, maka umat Islam akan menjadi orang yang berilmu dan cekap dalam semua bidang serta mampu mempertahankan diri dengan kekaya-an dan kecekapan,” katanya.

Sementara itu, Daud dalam ucapanya juga mengharapkan agar Seminar Nuzul Al-Quran tersebut dapat diadakan pada masa-masa akan datang.

“Seminar ini adalah kena pada masanya dan amat perlu diteruskan kerana kedudukan sains dan kaitannya dengan Al-Quran perlu difahami agar segala kekeliruan dapat dihapuskan,” katanya.