Kastima dan Teleng Logging sampaikan sumbangan RM94,200 kepada Rumah Kahei

0

SUMBANGAN: Beatrice (dua kanan) menerima cek sumbangan kepada Rumah Kahei disampaikan oleh Vincent (tiga kiri). Turut kelihatan, Abdul Halim (lima kiri) dan Nyipa (tiga kanan).

KUCHING: Anak syarikat KTS, Kastima Logging dan Teleng Logging, baru-baru ini menyampaikan sumbangan RM94,200 kepada Rumah Kahei di Belaga.

Sumbangan itu diserahkan oleh Penasihat Keselamatan KTS Datuk Vincent Chapman kepada Maren Uma Beatrice Kedoh Tajang pada 12 Ogos lepas.

Majlis penyerahan diadakan di Crown Towers itu disaksikan oleh Pegawai Daerah Belaga, Abdul Halim Abdullah dan Temenggong Dato’ Sri Nyipa Bato.

Beatrice berkata sumbangan tersebut amat bermakna bagi penghuni Rumah Kahei memandangkan ia akan digunakan bagi membiayai pembinaan rumah baru.

“Rumah panjang baru akan dibina dengan lebih 90 pintu. Kos keseluruhan pembinaan ialah RM1 juta. Kami telah memulakan kerja-kerja pembinaan,” katanya.

Projek berkenaan juga merangkumi pembinaan jeti selain memperbaiki sistem saliran, jelas Beatrice.

Beliau memberitahu pembinaan rumah baru diperlukan segera berikutan rumah panjang 50 pintu mereka musnah dalam kebakaran pada Julai 2008.

“Tambahan pula 20 unit lagi tidak selamat untuk dihuni dan terpaksa dirobohkan,” katanya sambil menambah, rumah panjang itu sudah wujud sejak 300 tahun lalu.

Rumah Kahei mempunyai penghuni kira-kira 800 orang.

Vincent berkata KTS akan berusaha membantu penghuni Rumah Kahei dalam apa jua cara.

“KTS akan memberi bantuan kepada Rumah Kahei seperti menyediakan bahan binaan. Apa yang mereka minta, kita akan berusaha memenuhinya,” katanya.

Abdul Halim menghargai sumbangan KTS yang dikatakannya dapat membantu penduduk.

Rombongan berkenaan juga berkunjung ke Galeri KTS. Mereka diberi taklimat pegawai galeri Phyllis Phang mengenai sejarah dan perniagaan KTS.

Turut serta ialah eksekutif KTS Collin Goh dan Felicia Ng dan pembantu peribadi Vincent, Liu Kim Foon.

UNTUK ALBUM: (Dari kiri) Ng, Liu, Beatrice, Nyipa, Vincent, Abdul Halim dan Goh bergambar di pintu masuk Crown Towers.